Wannura

Koleksi Tumbuhan

PISANG DALAM KEHIDUPAN MANUSIA Jun 20, 2010

Filed under: Artikel — zainura66 @ 7:25 pm

PENDAHULUAN
Sesungguhnya Malaysia adalah bumi yang bertuah, dianggarkan bahawa terdapat ratusan malahan ribuan flora yang tumbuh melata di tanahair kita. Di antara tumbuhan yang tidak asing lagi dalam kehidupan manusia ialah pisang. Pisang dikatakan buah yang paling popular kerana senang ditemui dan murah pula harganya. Tambahan rasanya memang enak. Walaupun masyarakat sering menikmatinya, namun tidak ramai yang tahu mengenai latar belakang tumbuhan jenis buah-buahan ini.

Pisang ialah sejenis tumbuhan saka monokot yang berasal dari kawasan Asia tropika. Jenis yang liar masih terdapat di hutan.Terdapat kira-kira 70 kultivar pisang ditanam di negara ini. Kultivar-kultivar ini mempunyai mutu pemakanan yang berbeza-beza dan umumnya boleh dikelaskan kepada pisang untuk dimakan terus dan pisang untuk dimasak atau diproses atau pisang plantain. Pisang untuk dimakan terus mempunyai isi yang manis, lembut dan beraroma harum, manakala pisang plantain umumnya mempunyai isi yang kering dan berkanji. Sebahagian besar kandungan buah pisang terdiri daripada karbohidrat dan air tetapi buah ini juga mengandungi vitamin A, B dan C.Baca seterusnya

Pokok pisang hidup berumpun, mempunyai batang bawah tanah yang disebut umbisi dan sistem akar serabut. Batang udara disokong oleh seludang daun yang tersusun rapat dan membentuk batang palsu yang berfungsi sebagai batang. Daun pisang terbentuk di hujung batang palsu. Sebanyak 40 – 70 helai daun dihasilkan sebelum pokok berbunga. Pokok yang sihat biasanya mempunyai 10-15 helai daun yang hijau pada peringkat buah matang. Apabila pokok hampir mengeluarkan bunga, daun yang dikeluarkan semakin kecil. Daun yang akhir sekali disebut daun bulir. Daun ini jauh lebih kecil daripada daun-daun yang lain.
Jambak bunga berbentuk spika majmuk. Bunga-bunga tersusun dalam kelompok dan setiap kelompok diselubungi oleh satu braktea besar yang berwarna merah tua. Buku-buku di pangkal jambak mengeluarkan bunga betina dan di bahagian hujung menghasilkan bunga jantan.
Buah pisang tersusun pada tandan. Kelompok buah pisang pada tandan disebut sisir. Buah pisang terbentuk secara tampang, iaitu tanpa pendebungaan dan bersifat partenokarpa. Bahagian isi yang dimakan terbentuk daripada dinding ovari.

Tunas sisi yang terbentuk dan pada pokok induk dikenali sebagai sulur . Sulur akan membesar, berbuah dan menjadi tanaman ratun. Pokok pisang menghasilkan dua jenis sulur iaitu sulur pedang dan sulur air. Sulur pedang berbentuk tirus dengan daun yang kecil dan tirus. Sulur ini mempunyai bahagian umbisi yang lebih besar daripada sulur air, batang yang kuat dan kadar pertumbuhan yang cergas. Sulur jenis ini sangat sesuai digunakan sebagai bahan tanaman. Sulur air pula mempunyai daun yang lebar tetapi batang serta bahagian umbisinya kecil. Kadar pertumbuhannya lambat dan tidak sesuai digunakan sebagai bahan tanaman.

Pisang ialah sejenis tanaman yang tidak bermusim dan buahnya boleh didapati sepanjang tahun. Pokok pisang mengeluarkan bunga atau berjantung 9-10 bulan selepas ditanam dan buahnya dipetik 7-12 bulan kemudian. Kultivar pisang untuk dimakan terus yang popular di negara ini ialah pisang emas, pisang rastali, pisang berangan, pisang embun dan kavendish, manakala untuk dimasak atau diproses yang popular ialah pisang nangka, pisang raja, pisang tanduk, pisang awak, pisang abu dan pisang nipah. Antara kultivar pisang yang sedang meningkat popular kini ialah berangan. Pisang berangan tidak sahaja sedap rasanya tetapi juga tahan terhadap penyakit layu Panama. Pisang embun dan rastali rentan terhadap penyakit layu Panama dan penanamannya semakin berkurangan.

SEJARAH PISANG

Pisang dipercayai berasal dari Asia Tenggara. Ianya dikenali di negara-negara tropika seantero dunia akibat dari perkembangan aktiviti perdagangan. Pisang mula diperkenalkan oleh saudagar-saudagar Arab di Afrika Timur. Pada tahun 1402, ianya telah dibawa ke Kepulauan Canary oleh orang-orang Portugis. Manakala bangsa Sepanyol  memperkenalkan pisang ke Mexico sekitar tahun  1531 dan ke Benua Eropah Barat serta Amerika Utara pada tahun 1866.

NAMA DAN JENIS-JENIS PISANG

Malaysia kaya dengan pelbagai jenis pisang, dari sebesar-besar pisang seperti pisang Tanduk hinggalah sekecil-kecil pisang seperti pisang Emas. Terdapat lebih dari 14 jenis pisang yang boleh ditemui dan ditanam di sini. Dalam istilah sainsnya, pisang tergolong dalam Order Zingerberalis, iaitu kumpulan keluarga Musaceae dan genus Musa. Genus Musa boleh dibahagikan kepada dua kumpulan; Eumusa iaitu kumpulan yang boleh dimakan dan Phusocaulis, yang tidak boleh dimakan.

CIRI-CIRI DAN SIFAT PISANG

Antara jenis-jenis pisang yang terdapat di tanahair kita adalah seperti:

Pisang ini juga dikenali sebagai pisang Bunga. Pisang ini berbentuk panjang, pada peringkat permulaannya ianya berwarna hijau dan kemudian berubah menjadi warna kuning pucat. Ianya berkulit tebal dan senang dikupas. Satu tandan pisang Embun yang besar, beratnya boleh menjangkau antara 15 hingga 35 kilogram. Setiap tandan pula mempunyai 7 hingga 9 sikat dengan bilangan 100 hingga 200 biji buah pisang. Manakala setiap sikat pula mengandungi 14 hingga 15 biji buah pisang. Panjang buah pisang ini berukuran 15 hingga 20 sentimeter dan lebarnya 4 sentimeter . Ketinggian pokok pisang jenis ini ialah kira-kira 5 meter .

Saiz buah pisang ini adalah kecil tetapi rasanya lazat berbanding dengan pisang jenis lain. Apabila ianya ranum, buah serta isinya berwarna  kuning keemasan . Buah pisang ini mudah lebam dan bertukar menjadi kehitaman. Setiap tandan mempunyai berat antara 7 hingga 9 kilogram, 6 hingga 7 sikat dengan bilangan 100 hingga 150 biji buah pisang. Panjang buah pisang ini bersaiz 9.0 saentimeter dan lebarnya ialah 3.5 sentimeter. Pokok pisang Emas adalah kecil sahaja.

Buah pisang ini bersaiz sederhana. Kulitnya berwarna kuning dan agak kasar. Terdapat bintik-bintik hitam dan coklat di atas permukaan kulitnya serta ianya mudah dikupas. Isinya pula berwarna putih atau krim pucat. Setiap tandan mempunyai berat kira-kira 10 kilogram, 7 hingga 8 sikat  dengan bilangan 90 hingga 100 biji buah pisang . Manakala setiap sikat mengandungi 10 hingga 14 biji buah pisang. Panjang buah pisang Rastali ialah kira-kira 12.0 sentimeter dan lebarnya berukuran 3.7 sentimeter.

Penamaan kultivar

Kebanyakan pisang yang dimakan hari ini merupakan keturunan daripada Musa acuminata dan Musa balbisiana. Genom yang disumbangkan Musa acuminata diberi simbol A, manakala genom sumbangan Musa balbisiana diberi simbol B. Persilangan alamai kedua jenis spesies ini menyebabkan pelbagai jenis subspesies pisang. Pengaruh genom B terutama terlihat pada kandungan tepung pada buah yang lebih tinggi. Secara umum, genom A menyumbang ke arah buah makan (pisang), sementara genom B ke arah buah pisang olah/masak (plantain). Hibrid M. acuminata dengan M. balbisiana ini dikenal sebagai M. ×paradisiaca.

Mengikuti anjuran Simmonds dan Shepherd yang karyanya diterbitkan pada tahun 1955, pengelasan pisang kultivar sekarang menggunakan nama-nama gabungan genom ini sebagai nama kelompok kultivar. Sebagai contoh, untuk pisang serendah, disebut sebagai Musa acuminata (Kelompok AAA) subkelompok ‘Dwarf Cavendish’. Di bawah kelompok masih dimungkinkan pembagian dalam subkelompok. Lihat rencana Musa untuk pembahasan lebih mendalam.

Contoh:

Kelompok AA (diploid): Pisang Mas, Pisang Mas Besar, Pisang Mas Kampong, Pisang Mas Air, Pisang Minyak, Pisang Mas Sagura, Pisang Perak, Pisang Lemak Manis, Pisang Bulin

Kelompok AAA (triploid, partenokarpi): Pisang Berangan, Pisang Embun, Pisang Serendah, Pisang Buai, Pisang Mundam, pisang raja udang, pisang montel. Pisang Jelai Bunga, Pisang masak Hijau, Pisang Cina, Pisang Amping, Pisang Serendah, Pisang Kapal, Pisang Minyak Laut

Kelompok AAB (triploid, partenokarpi): Pisang Raja, Pisang Rastali, Pisang Tanduk, pisang keling, pisang seribu, pisang kelat jambi

Kelompok AABB (tetraploid): Pisang abu baru

Kelompok ABB (triploid, partenokarpi): Pisang Abu Keling, Pisang Awak

Kelompok ABBB (tetraploid): Pisang Siam

Kelompok BBB (triploid): Pisang Nipah

CIRI-CIRI DAN SIFAT PISANG

Pisang adalah buah klimak terik kerana sifat peningkatan kadar respirasi ketara ynag sejajar dengan berlakunya peranuman. Manakala morfologi pokoknya pula tergolong dalam jenis tumbuhan herba  kerana sifat tumbuhnya yang cepat dari batang palsu (pseudostem), iaitu tangkai daun yang tersusun seperti gelang sepusat dan muncul daripada umbisi atau batang utama. Manakala pengkelasan pisang bergantung kepada kultivarnya iaitu saiz, bentuk, warna kulit, tekstur dan citarasa pisang.

CARA PENANAMAN PISANG

Pokok pisang mudah ditanam dan berbuah sepanjang tahun. Ianya tidak memerlukan penjagaan rapi tetapi hanya berbuah sekali sahaja sepanjang tempoh hayatnya. Walaubagaimanapun, untuk tujuan penanaman secara besar-besaran dan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik, kaedah-kaedah tertentu mestilah diikuti. Sebagi langkah permulaan, kawasan penanaman pokok pisang mestilah dibersihkan terlebih dahulu. Setelah itu, anak-anak pisang sudah sedia ditanam dengan jarak kira-kira 3 hingga 4 meter antara satu dengan yang lain. Namun begitu, jarak penanaman adalah bergantung kepada jenis pisang. Sedikit bahan organik diisikan ke dalam lubang  sebelum anak-anak pisang ditanam. Bahan organik tersebut boleh dicampurkan dengan bahan-bahan yang lain seperti kapur mengikut keperluan.

PENUAIAN DAN DAN PERANUMAN PISANG

Buah pisang sedia dituai selepas ditanam kira-kira dua setengah hingga lima bulan. Namun begitu, penuaiannya adalah bergantung kepada jenis pisang tersebut. Pisang mula dipetik pada peringkat hijau matang. Kebiasaannya, pisang diranumkan dan tidak dibiarkan masak di pokok. Ini adalah untuk mengelakkan pisang masak tidak serata atau dimakan oleh haiwan.

Untuk jumlah yang sedikit, memadailah dengan hanya membalut pisang dengan kain atau guni jerami. Ia bertujuan supaya suhu yang terperangkap membolehkan pisang masak dengan baik. Manakala kebanyakan peruncit tempatan meletakkan kalsium karbida ke dalam kelompok pisang yang hendak diranumkan.Jika hendak memastikan pisang masak pada waktu yang dikehendaki, caranya ialah dengan mengawal peranumannya. Ia dilakukan dengan mengubahsuaikan atmosfera sekeliling berserta penyimpanan pada suhu rendah, 14⁰ C. Kaedah peranuman jenis ini dilalukan ke atas pisang-pisang yang hendak dieksport.

BINATANG PEROSAK DAN PENYAKIT PISANG

Binatang perosak yang seringkali menyerang pokok pisang ialah bubuk atau kumbang. Masalah ini dapat diselesaikan dengan menggunakan racun serangga seperti dieldrin. Manakala penyakit yang boleh memusnahkan pokok pisang ialah Anthracnose. Gejala ini berlaku apabila bintik-bintik telah muncul dan menyerang buah pisang yang sedang dalam penghantaran dengan menggunakan kapal.

KEGUNAAN PISANG

Sejak turun temurun lagi, pisang telah digunakan oleh nenek moyang kita dalam kehidupan seharian mereka. Kegunaan pisang adalah pelbagai, ia meliputi akarnya, batangnya, daunnya, buahnya mahupun jantung pisang. Pada hari ini, kegunaan pisang adalah lebih meluas lagi . Ia bukan setakat sumber makanan, malah diusahakan dengan menggunakan teknologi moden sehingga mampu mendatangkan pulangan yang lumayan.

Antara kegunaan pisang adalah seperti berikut:

1.  Sumber Makanan

Kegunaan pisang sebagai sumber makanan boleh dikategorikan kepada dua; pisang untuk dimakan segar atau mentah (dessert  banana). Nama botani bagi pisang ini ialah Musa acuminata. Antara kultivar yang tergolong di dalamnyaialah pisang Emas, pisang Rastali dan pisang Berangan.

Manakala pisang yang dimakan selepas dimasak atau diproses (cooking banana) dikenali dengan nama botani sebagai Musa Paradisiaca dan antara kulvitar yang popular dalam jenis ini ialah pisang Awak, pisang Nangka, pisang Tanduk, pisang Raja dan pisang Nipah.

Oleh itu, pisang menjadi buah yang bersifat pelbagai. Selain dimakan segar  ia juga dijadikan campuran kepada koktel buah, salad buah-buahan , campuran kepada yogurt, puding aiskrim malah inti untuk pai dan tat. Manakala jantung pisang pula boleh dijadikan ulam yang boleh dimakan bersama sambal mahupun aneka kuah. Bukan setakat ini sahaja, malah umbut pisang iaitu bahagian yang lembut di tengah-tengah batang pisang juga boleh dijadikan berbagai hidangan yang lazat.

Pisang  boleh juga dinikmati dengan pelbagai cara seperti digoreng untuk dijadikan kerepek, digoreng dengan bersadur tepung, direbus, dibuat pengat ataupun disalai mahupun disajikan dalam pelbagai bentuk jenis kuih atau kek. Untuk tujuan pasaran komersial, pengeluaran pisang telah diperluaskan seperti diproses menjadi sebahagian makanan bijirin, tepung dan digunakan untuk kepelbagaian formulasi makanan.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) adalah antara agensi yang terlibat di dalam pengusahaan pisang secara besar-besaran. Agensi ini juga telah menjalankan kajian tentang pemprosesan tepung pisang, pure pisang, minuman, cuka pisang, kepingan pisang sebagai bahan pencampur di dalam pembuatan ais krim dan kek. Menurut agensi ini, untuk membuat kerepek, pisang Tanduk adalah yang paling terbaik di samping menggunakan pisang Nangka dan pisang Berangan. Tepung pisang pula diproses dari menggunakan pisang Emas selain dari pisang Nangka, pisang Berangan, pisang Rastali dan juga pisang Embun. Bagaimanapun, rasa pisang Nangka yang agak masam sesuai  juga kalau dicampurkan di dalam rumusan makanan bayi.

2.  Adat Istiadat

Di kalangan masyarakat India, pokok pisang memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka. Daun pisang telah lama dikenali sebagai bekas mengalas makanan bagi mengantikan pinggan.  Selain itu juga, pokok pisang turut digunakan dalam upacara-upacara seperti perkahwinan dan kematian.

Dalam majlis perkahwinan orang Melayu di Negeri Sembilan pula, daun pisang dan batang pisang digunakan sebagai pengalas dan penutup lapisan pulut kuning serta wajik sebelum dicacakkan batang pisang bagi mencucuk bunga telur nasi pancak yang bakal dibawa ke rumah pengantin lelaki.

Daun pisang juga sering digunakan sebagai pembungkus pulut membalas pemberian beras yang dibawa oleh para tetamu di dalam bakul sia. Batang pisang yang tegak berdiri lazimnya digunakan bagi mencucuk bunga telur di luar rumah untuk diberikan kepada tetamu tatkala hendak pulang. Selain itu, batang pisang juga memang telah lama dikenali sebagai penegak sirih junjung tradisional dalam majlis pertunangan dan menghantar belanja.

Di kalangan masyarakat Melayu pula, terdapat nasi kunyit atau disebut juga sebagai pulut kuning. Mengikut setengah-setengah tempat, ia biasanya dibahagi-bahagikan kepada para jiran sebagai tanda kesyukuran jika sesuatu niat itu dimakbulkan oleh Tuhan. Nasi atau pulut ini sering dihiasi dengan pelapik daun pisang yang digunting zig zag sama ada sebagai pengalas pulut ataupun lauk pauk seperti rendang, kari kering, timun, telur dadar, udang goreng dan sebagainya.

Masyarakat berketurunan Jawa juga sering mengadakan kenduri kematian, perkahwinan, pertunangan, cukur jambul,  berkhatan dan berlenggang perut dengan menyediakan hidangan nasi ambang yang diisi di dalam dulang besar beralaskan daun pisang yang dinamakan ‘sanggir’.

Para tetamu yang hadir cuma menjamahnya sedikit kemudian dibawa pulang dengan mengisi bahagian masing-masing di dalam bekas yang diperbuat dari daun pisang yang berbentuk empat persegi yang dipanggil ‘takir’. Satu hidangan hanya akan dikhaskan untuk 4 atau 5 orang sahaja. Lauk-pauk  dan hidangan iringan yang disediakan juga berbeza mengikut acara majlis.

3.  Perubatan

Getah pisang didapati mustajab untuk menyembuhkan luka. Caranya ialah dengan menyapukan getah pisang pada luka. Hasilnya, darah berhenti mengalir dan luka segera sembuh. Di samping itu juga, ia boleh digunakan sebagai penawar mengubati bisa akibat dipatuk ular atau disengat kala jengking.

Selain itu, bunga pisang boleh direbus dan airnya diminum bagi mengubati penyakit kencing manis. Kulit pisang boleh digunakan untuk merawat kudis. Caranya ialah dengan menggosokkan kulit pisang pada kudis, dua atau tiga kali sehari sehingga kudis sembuh.

Buah pisang pula boleh menjadi penyembuh kepada masalah sembelit. Caranya ialah dengan mengisar halus dua biji pisang bersama dua gelas air. Kemudian sejukkan jus tersebut di dalam peti ais selama setengah jam dan amalkan meminumnya sebanyak dua kali sehari. Jus pisang ini boleh melegakan penyakit ulser dan penyakit gastritis atau radang perut.

Di samping itu juga, menurut perubatan Cina, pisang Kaki dipercayai amat berkesan untuk meredakan demam. Serbuk putih yang terdapat di permukaan buahnya baik untuk paru-paru dan jantung. Pisang jenis ini juga dipercayai berkhasiat dalam menurunkan tekanan darah tinggi, meningkatkan pengaliran darah dalam pembuluh darah koronari, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu.

4.  Kegunaan Harian

Sejak dahulu lagi masyarakat Malaysia khususnya masyarakat Melayu telah mengenali daun pisang yang berbentuk lebar itu sebagai pelapik dan pembungkus makanan. Hidangan yang berbungkus daun pisang menerbitkan bau harum serta menbangkitkan selera pemakannya.

Nasi lemak, pulut inti, pulut panggang, kuih koci, kuih lapis, lemang, lontong, lepat, nagasari, puteri dua sebilik, abuk-abuk sagu, tepung pelita, tapai, dan berbagai lagi kuih tradisional menggunakan daun pisang sebagai pembungkusnya. Bentuk-bentuk pembungkusnya pula mepunyai ciri-ciri keindahan yang tersendiri seperti panjang, tiga segi, bentuk sampul surat, empat persegi dan sebagainya.

Selain dari itu juga, daun pisang digunakan sebagai penutup hidangan untuk dihantar ke rumah jiran di kampung-kampung ketika bulan puasa dan sebagainya. Daun pisang juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana ianya dapat mengantikan minyak masak semasa memanggang ikan agar ikan tidak melekat.

Masyarakat Melayu di Johor pula menggunakan daun pisang sebagai bahan mencuci usus ayam setelah dibelah. Kemudian bilah buluh runcing dijolok bersama daun pisang ke dalamnya untuk mengeluarkan kekotoran. Menurut orang-orang tua daun pisang digunakan bagi menghilangkan bau hamis usus ayam di samping dapat membersihkannya. Usus yang sedia dibelah dua diramas dengan daun pisang bercampur dengan sedikit air sehingga semua kekotoran keluar kemudian barulah dibilas beberapa kali hingga ianya betul-betul bersih.

Satu ketika dahulu, batang pisang telah digunakan sebagai tempat mengalas kepala mayat sewaktu memandikannya di Sarawak dan di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Ini kerana batang pisang memang mudah didapati dan ianya lembut. Bagaimanapun kini, peranan batang pisang ini telahpun diambil alih oleh tempat mayat yang khas yang diperbuat dari aluminium yang tidak membasahkan lantai kerana ianya mempunyai saluran air ke longkang di luar rumah.

Antara bahagian pokok pisang yang sering digunakan dalam kehidupan seharian ialah pelepah pisang. Para surirumahtangga seringkali menggunakan pelepah pisang untuk membersihkan kerang.

5.  Kraftangan

Di kalangan masyarakat Melayu lama di Pantai Timur telah lama menggunakan tali pisang dalam proses mencelup benang losing bagi menenun kain cindai atau kain ikat. Tali pisang yang dibuat dari batang pisang ‘gala’ yang kuat, kukuh dan tidak rapuh telah digunakan bagi mengikat benang losing tersebut. Daun pisang yang telah kekuningan atau kering pula digunakan sebagai pembalut sebelum diikat dan dicelup.

Manakala di Sarawak pula, satu usaha telah dibuat bagi menghidupkan kembali seni kraftangan yang dibuat dari  pelepah pisang.

6.  Kecantikan

Air dari batang pisang dikatakan berkhasiat bagi melebatkan rambut, caranya mudah sekali hanya perlu membuat lubang pada batang pisang kemudian ditutup dengan plastik dan dibiarkan semalaman hingga air bertakung didalamnya lalu disapukan ke kulit kepala.

Manakala kulit pisang Emas pula digosokkan pada kulit untuk mendapatkan wajah yang halus dan licin.

7.  Kegunaan lain

Kegunaan pokok pisang adalah tidak terbatas, antara lain ialah dalam;

Kepercayaan Spiritual

Di dalam kepercayaan masyarakat Melayu, kononnya seseorang yang ingin memperolehi kekuasaan  seperti ‘Orang Minyak’ dikehendaki betapa di bawah pokok pisang bagi tempoh yang tertentu dan meminum air dari pokok pisang.

Pembiakan Kupu-kupu

Sebenarnya, kaedah ini telah dipelopori oleh sebuah zoo di London. Caranya ialah membiakkan beberapa jenis kupu-kupu dengan memberikan makanan berupa pisang Emas yang masak ranum atau yang hampir busuk.

PENUTUP

Pisang yang pada mulanya merupakan sejenis tumbuhan liar di Asia Tenggara, kini telah dikomersialkan. Ramai yang telah berjaya dalam mengusahakan tanaman pisang ini.Malahan pisang mempunyai banyak kegunaannya, bukan sekadar dari segi buahnya sahaja malahan banyak fungsi dari batang dan daunnya. Mungkin ramai yang tahu bahawa nasi lemak yang sedap dimakan menggunakan daun pisang sebagai kaedah pembungkusannya. Tahap keenakannya cukup berbeza berbanding dibungkus dengan kertas minyak atau suratkhabar semata-mata.
Kuih koci, lepat pisang juga menjadikan daun pisang sebagai medium utama dalam pembungkusannya.. Mungkin ramai yang tak tau bahawa daun pisang juga mempunyai kegunaan tersendiri.Bagi budak-budak kampung, mungkin teringat tentang kisah lama membuat rakit menggunakan batang pisang. Dengan kadar keterapungannya dan mudah dicari zaman-zaman ‘adventure’ meredah sungai dengan rakit adalah satu kemestian budak-budak kampung..
Selain itu batang pisang mempunyai gentian yang banyak dan boleh diproses secara perdagangan untuk membuat tali dan bahan seumpamanya seperti guni.

Populasi rakyat yang meningkat dari tahun ke setahun telah mendorong kerajaan untuk mengimport bahan-bahan keperluan dari luar. Ini termasuklah bahan makanan seperti buah-buahan. Pengimportan bahan-bahan ini semakin bertambah lantaran kedudukan ekonomi Malaysia yang stabil. Walaupun ia berjaya menampung keperluan rakyat, namun sedikit sebanyak telah mendatangkan kerugian terhadap buah-buahan tempatan. Tambahan pula, buah-buahan import digembar-gemburkan mempunyai khasiat yang tinggi berbanding buah-buahan tempatan. Namun begitu, ramai yang tidak mengetahui bahawa buah tempatan seperti pisang mengandungi khasiat yang tinggi. Dikatakan bahawa selain karbohidrat, pisang juga kaya dengan vitamin C, B6, B2, folate, air, tenaga, kalium, karoten, protein, fiber, abu, kalsium, fosforus, natrium, zat besi dan niasin. Menyedari hakikat itu, maka pelbagai agensi seperti MARDI berusaha untuk menaiktaraf semula kedudukan buah-buahan tempatan di mata masyarakat. Pokok pisang yang dulu dibiarkan tumbuh melata di belakang rumah kini terdapat di dalam menu di hotel-hotel terkemuka. Bukan itu sahaja, pisang juga telah pun ditanam dan diusahakan secara besar-besaran. Kini banyak kawasan perladangan pisang telah diusahakan seperti di Raub, Teluk Intan dan Kuala Kangsar. Hari ini, dengan peranan semua pihak buah-buahan tempatan semakin mendapat tempat bukan sahaja di tanahair sendiri malah ia telah menyumbangkan keuntungan yang besar kepada ekonomi negara. Dengan ini, terbuktilah bahawa pisang memang mempunyai nilai yang unggul kerana ia bukan sekadar pencuci mulut malah mampu memenuhkan isi poket.

Sumber rujukan :

2. Buah-buahan Malaysia (DBP-Rukyah)

Bagi yang berminat untuk melawat kebun pisang pula, sila klik pautan ini, ok !

About these ads
 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 76 other followers

%d bloggers like this: