Wannura

Koleksi Tumbuhan

CARA MENANAM ORKID DI MALAYSIA Julai 1, 2010

Filed under: Artikel — zainura66 @ 1:17 am
Tags: , , ,

Pengenalan kepada orkid

Di dalam  ‘dunia’  orkid perkataan seperti  ganjilnya!, wow cantiknya!, wanginya!, eee busuk!, ini orkid ke?, mahalnya!, eksotik la! unik! dan sebagainya adalah amat biasa di dengar di kalangan penggemar orkid. Itulah tarikan seseorang untuk terus meminati orkid.

Orkid atau anggerik merupakan salah satu tanaman hiasan yang amat popular di Malaysia, dengan iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun, Malaysia merupakan  tempat taburan  hidup orkid liar yang mencapai ribuan  jenis.  Orkid amat popular di tanam di kalangan penggemar flora di Malaysia kerana  saiz , struktur dan warna bunga yang pelbagai.

Orkid juga penyumbang kepada pendapatan negara kita melalui beberapa medium;

pelancongan – pembinaan taman-taman orkid di seluruh  Malaysia
pendidikan –  penyelidikan yang dilakukan oleh penyelidik luar yang  datang  ke Malaysia.
industri bunga – jualan  orkid pasuan dan keratan bunga kraftangan  berasaskan orkid

Jenis-jenis Orkid

Secara ringkas orkid di kelaskan kepada  beberapa peringkat seperti cara pertumbuhan dan cara hidupnya.Baca selanjutnya

A) Spesis – merujuk kepada orkid liar.  Di dalam penulisan   piawai adalah mudah untuk mengetahui sama ada sesuatu orkid itu adalah spesis dengan melihat pada:

a.      Huruf  ‘italic’ digunakan

b.      Hanya huruf pertama sahaja huruf  besar, yang lain adalah berhuruf kecil

Contoh : Phalaenopsis bellina

B)  Hibrid –  merujuk kepada orkid yang telah dikacukan di antara sesama genus atau  sesama famili. Cara mengenal pasti sesuatu orkid itu hibrid mengikut penulisan piawai adalah seperti berikut;

a.      Huruf  tegak digunakan sepenuhnya

b.      Setiap huruf pertama bagi setiap perkataan akan dimulai dengan huruf besar.

Contoh :  Phalaenopsis Timothy  Christopher

Contoh orkid kacuk sesama genus :

Bulbophyllum  Meen Garuda – adalah hasil kacukan orkid daripada genus bulbophyllum. Ia terhasil daripada kacukan Bulbophyllum lasiochilum dengan Bulbophyllum echinolabium.

Contoh orkid kacuk sesama famili:

Aranda Majul ‘Rimau’ – adalah kacukan orkid daripada famili Vanda. Ia terhasil daripada kacukan Arachnis Maggei Oei dengan Vanda insignis.

(Nota : Arachnis Maggei Oei = Arachnis hookeriana X Arachnis flos-aeris)

Pengkelasan  mengikut cara pertumbuhan

a)  Monopodial – adalah orkid yang mempunyai satu batang yang biasanya dipanggil stem yang hidup menegak. Daun-daun  baru tumbuh  di setiap hujung stem tersebut.

b)  Simpodial – adalah orkid yang tumbuh secara mengeluarkan anak daripada bebawang yang telah matang.

Orkid dan persekitaran hidup semulajadinya

Maksud cara hidup orkid di sini ialah media yang diperlukan oleh setiap jenis orkid untuk hidup.

1.  Tanah

Orkid yang hidup di atas tanah. Untuk penanaman sebagai hiasan biasanya pengemar orkid menggunakan tanah pasuan yang boleh didapati di nurseri nurseri bunga berhampiran anda. Daripada pengalaman penulis tanah pasuan di nurseri perlu ditambah media* yang mampu meningkatkan saliran dan pengudaraan yang baik. Orkid dalam genus Spathoglottis dan  Phaius  adalah salah satu orkid yang memerlukan tanah sebagai medianya untuk hidup.

(* rujuk bab cara penanaman orkid untuk keterangan lanjut)

2.   Epifit

Sejenis orkid yang hidup secara  menumpang di atas pokok. Orkid epifit bukan parasit iaitu  ia tidak ’mencuri’ keperluan hidupnya daripada perumahnya. Di dalam koleksi penulis, orkid jenis ini telah di tanam menggunakan beberapa jenis media* sebagai ganti kepada pokok perumah asalnya. Antara orkid  epifit adalah  genus Bulbophyllum, Dendrobium,   Phalaenopsis dan Vanda. (* rujuk bab cara penanaman orkid untuk keterangan lanjut)

3.   Memanjat

Orkid jenis memanjat ini boleh dikenali dengan pangkalnya hidup di tanah dan ia menjalar memanjat atau melilit media sokongannya. Biasanya dia mempunyai akar udara yang berserabut. Biasanya orkid jenis ini adalah monopodial seperti genus Dipodium, Arachnis dan Mokara. Orkid vanila juga termasuk di dalam kumpulan ini.

4.   Litofit

Ia menjadikan batu sebagai medianya untuk hidup. Di dalam hutan biasanya kita boleh melihat orkid jenis ini hidup di batu batu tepian air terjun yang ditumbuhi dengan lumut. Antaranya ialah beberapa jenis  orkid  di dalam genus Paphiopedilum, Eria dan juga sekumpulan orkid yang di panggil ‘Jewel Orchid’.

Daripada ciri-ciri pengkelasan di atas, setiap orkid akan berkemungkinan mempunyai gabungan ciri-ciri yang telah disebutkan;

Contoh 1 :   Orkid Phalaenopsis violacea – Spesis, Monopodial dan Epifit

Contoh 2 :   Orkid Dendrobium Sonia       – Hibrid, Simpodial dan Epifit

Contoh 3 :   Orkid Sphatoglottis aurea      – Spesis, Simpodial dan Tanah

Orkid yang popular di tanam di Malaysia

Kebanyakkan orkid yang mendapat permintaan ramai ialah orkid hibrid. Ini kerana beberapa faktor seperti;

  • warna bunga yang lebih menarik
  • bunga yang tahan lama
  • pokok tahan lasak berbanding dengan orkid liar
  • harga yang murah berbanding orkid liar
  • saiz bunga yang lebih besar berbanding orkid liar
  • sesuai untuk jualan keratan bunga

Terdapat beberapa jenis genus  orkid yang popular di tanam di nurseri nurseri di dalam kuantiti yang besar kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran Malaysia khususnya. Antaranya;

  • Dendrobium
  • Phalaenopsis
  • Arachnis
  • Vanda
  • Cattleya
  • Oncidium

Cara Menanam Orkid

Pada bab ini penulis cuba membincangkan persoalan-persoalan yang sering didengari oleh penulis tentang penanaman dan penjagaan orkid di kalangan peminat flora. Penulis juga cuba berkongsi pengalaman beberapa teknik cara membiakkan orkid dan juga media  tanaman yang selalu digunakan dikalangan peminat orkid.

1)  Susahkah menanam orkid?

“Saya minat orkid tapi high maintenance la….”

“Mak cik minat tengok je nak tanam tak reti..”

“Orkid ? Susah la, bunga masa beli je lepas tu tak mau bunga dah..”

“Orkid mak cik banyak mati, siram, baja semua cukup dah, tu yang frust dah nak jaga orkid.”

Itulah beberapa komen spontan yang penulis dengar daripada penggemar flora  apabila  mereka berkunjung ke pameran pameran orkid yang turut di hadiri oleh penulis.

Secara umum menjawab persoalan persoalan di atas, sebenarnya orkid tidak susah untuk di tanam, sama seperti pokok bunga lain juga. Apa yang penting pengetahuan tentang keperluan hidupnya sahaja. Ini adalah sesuatu yang pasti untuk anda ambil berat kerana ia adalah benda hidup seperti manusia. Sudah tentu orkid juga memerlukan persekitaran yang sesuai, ‘makanan’ dan ‘minuman’  untuk hidup. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakannya. Setelah anda melakukannya, anda akan gembira apabila melihat orkid anda hidup subur dan mengeluarkan bunga yang cantik.

Bermula dari sini penulis akan cuba berkongsi pengalaman dengan pembaca segala aspek penanaman dan penjagaan orkid. Harap dapat  menambahkan lagi kefahaman pembaca tentang flora  unik ciptaan Allah ini. Penerangan diberikan dengan bahasa yang mudah dan ringkas, juga seboleh mungkin penulis akan sertakan foto agar lebih mudah difahami oleh pembaca.

2)  Media penanaman orkid

Penanaman orkid memerlukan kita menentukan media yang sesuai mengikut habitat asalnya  seperti telah di terangkan di dalam sub topik; orkid dan persekitaran hidup semulajadinya. Terdapat beberapa jenis media yang biasa digunakan oleh peminat orkid. Bergantung kepada penanam untuk memilih kesesuaian media mengikut iklim mikro* kawasan penanam anda. Setiap media diterangkan secara ringkas untuk memudahkan anda mendapatkan gambaran penggunaannya.

a.   Pecahan batu bata

Salah satu media yang popular digunakan dan mudah didapati. Digunakan untuk menanam orkid epifit dan orkid memanjat. Biasanya dicampur sekali bersama dengan pecahan arang. Biasanya penulis mendapatkan sumber pecahan batu bata ini di kawasan pembinaan perumahan.

Teknik menggunakan;

i.                    Sebelum menggunakan batu bata hendaklah direndam di dalam racun kulat selama semalaman. Selepas itu angkat dan keringkan.

ii.                 Pecahkan batu batu kepada saiz besar, medium dan kecil mengikut kesesuaian pasu.

iii.               Letakkan pecahan besar di bawah pasu, diikuti dengan bersaiz medium dan kecil.

iv.               Tanam orkid di atas permukaan pasu. Jangan timbus pangkal orkid anda. Untuk tegakkan orkid yang tinggi, boleh gunakan kayu pancang sebagai sokongan.

Nota : Pangkal orkid  simpodial tidak boleh ditimbus semasa menanamnya kerana dipangkalnya  terdapat beberapa mata tunas yang akan membentuk anak kelak.

b.   Pecahan arang

Juga media yang popular dan mudah didapati di kedai kedai runcit. Digunakan untuk orkid epifit dan orkid memanjat. Digunakan bersama dengan pecahan batu bata.

Teknik menggunakan:

i.                    Rendamkan arang selama semalaman untuk membuang garam. ( kerana arang diperbuat daripada kayu bakau yang tumbuh di tepi laut).

ii.                 Siram arang menggunakan aliran air  supaya sisa garam dapat dibuang.

iii.               Ikut teknik seperti menggunakan pecahan batu bata untuk langkah seterusnya.

c.      Serbuk kayu

Biasa digunakan sebagai media yang diletakkan didalam pasu atau batas untuk menanam orkid jenis memanjat.

Teknik menggunakan:

( Penulis menggunakan serbuk kayu sebagai campuran bersama dengan media lain seperti pecahan batu bata, arang, tanah pasuan dan perlite)

i.                    Rendam serbuk kayu yang ingin digunakan di dalam racun kulat semalaman. Angkat dan keringkan.

ii.                 Masukkan habuk kayu ke dalam bekas tanaman.

iii.               Letakkan orkid di atas media. Jika menanam orkid yang hidup ditanah, penulis campur bersama dengan media pasuan dengan tujuan untuk membekalkan bahan organik di dalam tanah apabila ia mereput.

d.   Perlite

Perlite semakin digemari di dalam penanaman orkid. Begitu juga dengan penulis, ini kerana ia mudah dikendalikan, ringan, tahan lama. Perlite juga boleh dicampur bersama dalam tanah pasuan untuk memperbaiki sistem saliran dan pengudaraan tanah. Sesuai untuk orkid epifit dan orkid yang hidup ditanah. Penulis menggemari media ini kerana ia boleh mengurangkan risiko penyakit dek kesan daripada penyiraman melampau.

Teknik menggunakan:

i.                    Siram perlite dengan air supaya ia basah sebelum mengendalikannya. Ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana perlite yang berkeadaan kering, partikelnya mudah berterbangan kerana ia sangat ringan. Dibimbangi memudaratkan kita apabila disedut. Tidak rugi kita berhati-hati.

ii.                 Isikan ke dalam pasu sehingga penuh.

iii.               Letakkan orkid di atasnya, boleh juga dibenamkan orkid sehingga menutup rizomnya. Ini tidak memudaratkan kerana perlite masih memberi rongga udara.

iv.               Boleh menggunakan kayu sokongan untuk penanaman orkid yang tinggi dan besar saiznya.

e.   Sphagnum moss

Media yang popular dibuat sebagai lapisan untuk menanam orkid  epifit pada tunggul kayu dan potongan dahan tembusu. Ia mampu meyimpan kelembapan dengan lebih lama. Ada juga penanam menggunakan 100% sphagnum moss yang diletakkan di dalam pasu untuk menanam orkid genus phalaenopsis. Ini untuk mengekalkan kelembapan lebih lama kerana orkid jenis ini tidak mempunyai bebawang untuk menyimpan air.

Teknik menggunakan;

i.                    Sphagnum moss yang hendak digunakan direndam di dalam larutan racun kulat semalaman. Angkat dan biarkan sehingga ia  terasa lembap.

ii.                 Isikan ke dalam pasu atau tampalkan kepada tunggul kayu misalnya

f.   Potongan batang paku pakis gajah.

Media ini juga amat digemari oleh penanam orkid kerana ia boleh menyimpan air dengan lebih lama dan mengelakkan kesan buruk daripada penyiraman melampau.  Media ini amat sesuai untuk tanama secara gantung.

Teknik menggunakan;

i.                    Potong batang paku gajah mengikut kesesuaian  orkid yang hendak di tanam.

ii.                 Lekatkan orkid di atasnya dengan menggunakan tali yang tidak mencederakan orkid anda. Penulis biasa menggunakan tali rafia kerana ia akan reput setelah orkid hidup dengan stabil pada media tanaman.

g.   Tunggul kayu

Media ini sesuai untuk  tanaman orkid secara gantung. Ia lebih cepat kering berbanding dengan potongan paku pakis gajah.  Ia mudah diperolehi di dalam hutan,di ladang-ladang sawit  atau di tepi sungai.

Teknik menggunakan sama seperti menggunakan potongan batang paku pakis gajah. Boleh diletakkan sedikit Sphagnum moss untuk melambatkan kadar kehilangan air selepas siraman.

h.   Potongan dahan tembusu

Penulis menggunakan media ini untuk menanam orkid daripada  famili Bulbophyllum dan Phalaenopsis. Daripada pemerhatian penulis  orkid lebih cepat hidup stabil apabila menggunakan media ini. Ia mempunyai kulit yang tebal yang mampu menyimpan air lebih lama.

i.   Tanah campuran

Orkid yang hidup di tanah memerlukan media ini. Penulis biasanya menggunakan campuran tanah kompos, perlite dan sekam padi pada kadar 1:1:1. Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik lepada akar orkid.

j. Tiada media

Tiada media bermaksud orkid digantung bebas tanpa menggunakan  sebarang media. Teknik ini sesuai untuk orkid jenis Vanda. Teknik ini memerlukan kadar penyiraman yang lebih.

Penyediaan persekitaran hidup orkid

Orkid seperti  tanaman yang lain juga yang memerlukan penanam menyediakan persekitaran hidup yang sesuai untuknya. Perkataan lain yang paling sesuai sekali ialah kadar pencahayaan. Kadar pencahayaan kepada orkid boleh di beri dengan  penyediaan  teduhan sebab setiap jenis orkid memerlukan kadar cahaya yang berbeza-beza. Sebagai contoh, orkid famili Arachnis memerlukan cahaya matahari 100% manakala orkid famili Phalaenopsis memerlukan cahaya matahari hanya 50% untuk hidup dengan subur. Ada 2 teknik teduhan yang biasa digunakan oleh penanam orkid.

a.      Rumah teduhan

Teknik ini amat popular  dikalangan penggemar orkid kerana mudah untuk menyediakan kadar teduhan. Untuk teduhan biasanya mereka menggunakan jaring teduhan berwarna hitam yang biasa dijual. Kadar teduhan jaring tersebut biasanya adalah 50% dan terdapat  beberapa jenis untuk pilihan penanam.

b.      Tanaman bersama pokok teduhan

Teknik ini boleh dikatakan orkid dijadikan antara elemen penyeri taman. Teduhan orkid diperolehi melalui kanopi pokok-pokok teduhan yang ada di taman penanam, atau terus menanam orkid pada dahan-dahan pokok  di taman. Ia lebih kelihatan semulajadi. Sesuai untuk pembinaan landskap berasaskan orkid atau diintegrasikan bersama bunga-bungaan lain.

Cara pembiakan orkid

Sebagai penggemar orkid, fasa pembiakan orkid memang tidak dapat di elakkan kerana  ia sudah tentu memberikan anda kelebihan untuk meningkatkan bilangan pokok di dalam koleksi anda. Selain itu risiko anda untuk kehilangan total pokok yang mungkin mati di serang penyakit juga amat rendah kerana mempunyai beberapa pokok  daripada jenis yang sama.

Orkid boleh dibiakkan dengan beberapa cara antaranya:

- pembiakan daripada anak benih

  • daripada ‘flask’
  • pot komuniti
  • pot individu

- pembahagian rumpun

- keratan daripada pokok induk

- benih

Daripada  4 cara di atas,  teknik akhir tidak dibincangkan di sini. Ini kerana adalah amat rumit  untuk dilakukan penyemaian secara tersebut. Penulis sendiri tiada pengalaman berkenaan perkara tersebut. Walaupun begitu amat cukup untuk pembaca mengetahui 3 cara yang pertama disebutkan untuk menggandakan koleksi orkid pembaca.

Pembiakan melalui anak benih

1.                  Pengeluaran daripada ‘flask’

Benih yang telah disemai akan membesar menjadi anak benih di dalam ‘flask’. Apabila telah cukup besar ia perlu dikeluarkan untuk ditanam di dalam pasu. Anda boleh membeli anak benih di dalam ‘flask’ ini di nurseri orkid yang menjualnya dengan harga serendah  RM20.00, bergantung kepada sesuatu jenis orkid.

Berikut diterangkan teknik mengeluarkan anak benih daripada ‘flask’.

Anak orkid didalam botol (flask) boleh didapati dikebanyakkan nursery orkid.  Harganya dari RM20 hinggalah RM1000 mengikut jenis orkid.  Dalam satu botol ada lebih kurang 5 hingga 50 anak orkid.

Bahan bahan yang diperlukan;

1.                  Racun kulat ( keterangan lanjut dalan bab 3)

2.                  Lumut (sphagnum moss) atau sabut kelapa (yang sudah dihancurkan).  Basahkan lumut air atau sabut kelapa tersebut.

3.                  Kertas suratkhabar

Caranya;

1.                  Keluarkan anak orkid dari botol.  Jika mulut botol itu besar, gunakan penyepit (forceps) yang telah disterilkan.  Jika mulut botol itu kecil maka botol hendaklah dipecahkan.

2.                  Basuhkan anak orkid menggunakan air.  Pastikan tiada agar-agar (jelly) melekat diakar pokok.

3.                  Rendamkan anak orkid itu kedalam larutan anti fungus selama 10 hingga 15 minit.

4.                  Tuskan dan keringkan anak orkid itu di atas kertas suratkhabar selama setengah jam (hanya letakkan di atas kertas suratkhabar dan dianginkan)

5.                  Setelah itu balutkan akar anak orkid dengan lumut air atau sabut kelapa dan masukkan kedalam pasu mengikut saiznya (pasu yang kecil dipanggil thumbpot)

6.                  Untuk anak pokok yang terlalu kecil kumpulkan dan ditanam didalam satu pasu (pasu ini dipanggil compot)

7.                  Letakkan di tempat yang teduh dan tidak terkena air hujan.

8.                  Siram/semburkan baja penyubur sebanyak 2 atau 3 kali seminggu.

9.                  Apabila sudah membesar, pindahkan ke pasu yang besar sedikit mengikut saiz yang bersesuaian dengan anak orkid.  Ulangi proses pemindahan ini 2 atau 3 kali sehingga orkid matang.

Jangkamasa untuk anak orkid membesar hingga matang dan bersedia untuk berbunga adalah dari 5 bulan hingga 3 tahun bergantung pada jenis orkid.  Contohnya, orkid jenis phal mengambil masa sekurang kurangnya 8 bulan untuk berbunga.

2.         Pot komuniti

Orkid yang telah dikeluarkan daripada ‘flask’ dan telah ditanam secara kelompok di dalam satu pasu dikenali sebagai  ‘Communiy Pot’ atau ringkasnya ‘compot’. Penanam boleh terus membeli orkid yang telah siap di tanam di dalam ‘compot’ di nurseri orkid.Setiap ‘compot’ biasanya mengandungi antara 10-20 anak pokok. Risiko orkid untuk hidup jika dibiakkan  cara begini adalah lebih tinggi berbanding secara ‘flask’. Oleh itu  bagi anda yang kurang pengalaman, boleh membeli ‘compot’ orkid  untuk menggandakan koleksi orkid anda.

3.    Pot individu

Setelah orkid di dalam ‘compot’ membesar, nurseri akan memindahkannya dalam pasu yang lebih besar  secara individu. Maka, anda juga boleh membeli  orkid secara begini kerana biasa orkid yang di tanam di dalam pasu individu telah hidup stabil.

Pembahagian rumpun

Teknik pembiakan ini amat sesuai untuk orkid simpodial. Apabila rumpun orkid telah cukup besar ia boleh dipecahkan kepada beberapa rumpun kecil untuk dibiakkan.

Keratan daripada pokok induk

Teknik  pembiakan ini  amat sesuai untuk orkid monopodial. Sebahagian pucuk orkid yang telah mempunyai akar dipotong  daripada pokok induk dan di tanam sebagai satu individu yan baru.

CARA PENJAGAAN ORKID

Pada bab ini penulis membincangkan  elemen-elemen penting untuk mendapatkan orkid yang hidup subur, sihat dan seterusnya memberikan anda kepuasan melihat bunganya. 4 elemen yang  dibincangkan nanti adalah  daripada pengalaman penulis dan perkongsian maklumat sesama penanam orkid  berdasarkan cuaca iklim tropika di Malaysia. Pengalaman penulis, penjagaan seperti penyiraman  dilakukan secara automatik pada hari bekerja. Pada hari cuti hujung minggu, penulis lakukan siraman secara manual, pemeriksaan penyakit,  pembajaan dan pembiakan jika perlu.

‘ROOT GOOD, GROWTH GOOD, FLOWER GOOD’

Kata-kata di atas adalah satu  lagi petua  yang amat bagus untuk anda ingat di dalam penjagaan orkid. Setiap pokok baru di tanam atau pemindahan pasu , penulis akan memberi perhatian lebih di dalam usaha untuk memberi pertumbuhan akar baru dengan baik dan sihat.

1.   Penyiraman

Jika anda ragu ragu untuk menyiram, JANGAN SIRAM !

Di atas adalah satu  petua yang popular  dan dijadikan panduan oleh penanam orkid. Ini kerana dibimbangi anda telah melakukan penyiraman yang  melampau terhadap koleksi orkid anda. Kesan buruk tabiat ini ialah  anda ‘menjemput’ penyakit  kepada kloeksi orkid anda.  Ini kerana orkid mampu menyimpan air  di dalam bebawangnya  seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Orkid juga mempunyai akar udara yang mampu menyerap wap air di persekitaran hidupnya. Walaupun begitu kadar penyiraman orkid bergantung kepada beberapa faktor seperti:

a. Cuaca semasa

Kadar kekerapan penyiraman di musim panas sudah tentunya lebih berbanding di musim hujan.

b. Media tanaman digunakan

Jika anda menggunakan media yang dapat menyimpan air lebih lama, maka kadar penyiraman hendaklah  kurang daripada media yang cepat kering.

c. Iklim mikro

Bermaksud adalah  iklim kawasan penanaman anda. Ini kerana iklim mikro adalah berbeza beza di antara anda dengan penanam orkid yang lain.

Penyiraman hendaklah dilakukan sebaik baiknya pada waktu pagi atau petang.  Penyiraman di waktu tengahari  akan  menyebabkan  air yang bertakung di celah daun   akan menyebabkan penyakit reput pucuk dan daun melecur dek proses pemanasan air oleh matahari.

Teknik penyiraman boleh digunakan  secara manual atau memasang satu sistem penyiraman automatik yang mudah seperti penulis gunakan.

2 .   Pengudaraan

Orkid memerlukan pengudaraan yang baik supaya tidak mudah di serang penyakit terutamanya penyakit yang disebabkan bawaan kulat. Pengudaraan yang baik boleh diberi dengan susun atur  orkid  yang tidak terlalu padat atau membekal  pengudaraan buatan seperti memasang kipas. Penulis hanya menggunakan teknik susun atur orkid sahaja bagi menjimatkan kos selengaraan.

3.  Pembajaan

Pembajaan adala sesuatu  yang mesti diberi  kepada tanaman  termasuk orkid untuk mendapatkan kualiti hidup  orkid yang lebih baik. Bagaiman teknik membaja orkid?

‘WEAKLY,  WEEKLY‘

Di atas adalah satu lagi  petua yang  bagus di jadikan panduan untuk anda membaja orkid. Ia membawa maksud anda menggunakan sukatan kepekatan  baja yang rendah  untuk setiap minggu semburan. Orkid hanya menyerap nutrien yang diperlukan sahaja pada sesuatu ketika. Jangan  menggunakan kepekatan  tinggi dan disembur sebulan sekali. Ini adalah teknik yang salah  dan merugikan anda.

a)       Panduan memilih baja

Penerangan unsur unsur di dalam baja bagi keperluan tanaman adalah kompleks. Penulis  cuba ringkaskan bahawa pemilihan baja bergantung kepada kehendak anda. Dipasaran terdapat pelbagai jenis baja yang dijual  untuk pilihan pengguna.  Jika inginkan tumbesaran pokok anda perlukan baja yang mengandungi kadar nitrogen (N) yang lebih tinggi. Jika untuk pembungaan, anda perlukan baja yang kandungan fosforus(P) dan kalium(K) yang lebih tinggi.

Biasanya pada  label baja akan tertera semua kandungan ketiga-tiga unsur tersebut.

Contoh: Baja A : N P K  +TE  :  13 27 27   1%

Untuk Baja A tersebut, ia sesuai untuk pembungaan orkid anda kerana  mengandungi  unsur nitrogen 13 % dan unsur fosforus dan kalium sebanyak 27%. +TE di sini bermaksud  baja ini mempunyai  ‘trace element’ atau unsur surih  sebanyak 1%. Unsur surih bermaksud  nutrien tambahan yang diperlukan oleh tanaman tapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Ia boleh diumpamakan seperti anda makan nasi dengan aneka lauk pauk. Nasi adalah keperluan  utama anda, lauk pauk ada keperluan sampingan sahaja.

Penulis menggunakan baja organik ‘B’GREEN  seaweed’  untuk  memberi pertumbuhan yang sihat dan ‘B’GREEN bloom & fruit’ untuk  membekal nutrien yang diperlukan untuk orkid berbunga.

B’GREEN seaweed   adalah baja organik campuran yang diperkaya dengan seaweed yang mana  ia telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai baja kerana mengandungi  beberapa hormon semulajadi yang amat  diperlukan oleh tumbuhan, mengandungi 60 unsur surih(TE) dan mengandungi  elemen sebagai  anti  beberapa penyakit  bawaan kulat dan serangga penghisap cecair tumbuhan.

B’GREEN bloom & fruit  adalah campuran  baja bukan organik  N P K  +TE : 5 35 15 2% dengan satu bahan organik bertujuan  untuk mempermudahkan dan mempercepatkan kadar penyerapan  nutrien oleh  tumbuhan.

Kawalan penyakit dan perosak orkid

Kawalan perosak merupakan satu perkara amat penting untuk anda ambil perhatian. Ini kerana ia mempengaruhi kualiti  hidup  orkid  dan mungkin yang lebih  penting anda mungkin kehilangan  orkid anda selamanya.

Penyakit orkid boleh dikelaskan kepada  bawaan 4 elemen, iaitu virus, bakteria, serangga dan kulat.  Kemahiran mengenal penyakit  memerlukan pengetahuan dan pengalaman kerana kadang kala  sesuatu penyakit itu mempunyai  tanda yang sama  untuk bawaan  virus atau bakteria atau kulat. Di sini penulis berkongsi pengalaman untuk rawatan penyakit bawaan  serangga, kulat dan bakteria sahaja.

1. Virus

Penyakit bawaan virus agak sukar untuk kita kenal pasti secara teliti kerana memerlukan ujian makmal. Bagaimanapun serangan virus hanya melemahkan pokok orkid anda, tidak menyebabkan  kehilangan poko k orkid kesayangan anda. Untuk mengelakkan jangkitan  virus  anda perlu  menjaga kebersihan kawasan penanaman. Untuk rawatan , anda perlu memusnahkan pokok yang dijangkiti. Ya , sudah pasti ia satu keputusan yang sukar untuk anda!

2. Bakteria

Biasanya tanda penyakit  orkid disebabkan  bakteria  meyamai  dengan penyakit bawaan kulat. Apa yang penulis perhatikan,  penyakit  bawaan bakteria adalah lebih cepat merebak  berbanding bawaan kulat. Tanda biasa penyakit bawaan bakteria ialah  reput pada mana-mana bahagian pokok dan berbau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan  pengudaraan yang  kurang baik adalah antara faktor jangkitan.

Antara penyakit  bawaan bateria adalah:

Reput bakteria (Bacterial rot) – satu bintik coklat berair pada daun, cepat merebak. Biasa menyerang orkid famili Phalaenopsis.

Reput daun ( Brown Rot) – bintik berair pada daun, daun kuning dan gugur.

3. Kulat (fungus)

Tanda seperti  disebabkan  oleh bakteria tetapi  kadar merebak lebih lambat  dan tidak mengeluarkan bau busuk. Keadaan tempat penanaman yang terlalu lembap dan pengudaraan yang kurang baik adalah punca utama jangkitan. Antara penyakit bawaan kulat yang biasa menyerang orkid ialah:

Antraknose

Black leaf spot

Cercospora leaf spot

Reput hitam ( Black rot)

Reput pangkal ( Basal rot)

Reput pucuk ( Crown rot)

Oleh sebab itu  ada  pengeluar  yang mengeluarkan racun 2 dalam 1  iaitu untuk merawat  penyakit kulat dan bakteria serentak. Ada racun yang dijual boleh merawat beberapa jenis penyakit dan ada yang tertumpu kepada satu jenis penyakit sahaja untuk pilihan pembeli.

a)  Rawatan terhadap bakteria dan kulat

Potong dan buang bahagian jangkitan. Jika orkid simpodial, penulis membuang  rumpun kecil yang dijangkiti. Jika orkid monopodial, ia biasa berlaku pada daun, penulis hanya memotong daun yang dijangkiti sahaja.

Sapukan atau semburkan racun kulat yang bersesuaian dengan penyakit kepada rumpun atau pokok yang telah sihat untuk langkah berjaga mengelakkan jangkitan.

Perhatikan perkembangan rumpun atau pokok yang telah dirawat, jika masih terdapat sebarang  jangkitan, ulangi proses di atas.

4. Serangga

Serangan serangga terhadap orkid adalah sesuatu yang  biasa. Antara serangga yang popular menyerang orkid adalah :

a. Semut

e. White flies

b. Aphid

f. Mites

c. Lipas

g. Scale insects

d. Kumbang

h.  Siput

Aphid, Mealy bug, Mites, Scale insects dan Thrips adalah serangga penghisap cecair tumbuhan.  Mereka biasa  terdapat di bawah daun  orkid  dan mudah di lihat dengan mata kasar. Ia akan menyebabkan pertumbuhan pokok terencat. Kehadiran mereka boleh di kesan seperti berikut:

Aphid- terdapat warna kehitaman pada pokok , biasanya di bawah daun dan celahan daunan dan batang orkid.

White flies –  seperti lalat kecil warna putih berdebu berkelompok di belakang daun.

Mites  – warna kemerahan di belakang daun,  belakang daun akan menjadi kuning dan hitam jika jangkitan teruk serta cepat merebak. Ia suka keadaan yang kering.

Scale insect – warna kuning keputihan  di atas daun dan batang pokok orkid.

Thrips – warna agak coklat di atas daun  orkid.

Koleksi penulis  biasa diserang oleh mites dan  white flies sahaja. Ia menyerang orkid yang mempunyai daun yang lembut seperti famili Sphatoglottis, Catasetum dan Coelogyne.

Kumbang, lebah dan semut akan merosakkan bunga yang telah kembang dengan memakan kudup bunga dan juga  pendebugaan yang tidak kita kehendaki. Koleksi penulis biasa di serang kumbang berwarna kuning yang selalu meninggalkan larva pada tangkai bunga yang akan  memakan keseluruhan bunga. Lebah dan semut tidak menjadi masalah utama kepada koleksi penulis.

Siput dan lipas akan memberi masalah dengan cara ia memakan akar  dan pucuk muda pokok orkid anda. Ini akan merencatkan pertumbuhan pokok. Koleksi penulis hanya berhadapan dengan masalah siput sahaja.

Panduan membeli racun serangga dan kulat

Beli  racun yang boleh merawat penyakit  yang anda kehendaki. Biasanya pengeluar akan memberi  informasi ini pada  bungkusan racun. Ini kerana kadangkala terdapat penjual yang kurang pengetahuan mengenai penyakit orkid dan racun yang sesuai untuk rawatan.

Sekian, semoga bermanfaat untuk anda.

Khairimhd

Sebarang pertanyaan sila emel ke khairimhd@yahoo.com.sg

About these ads
 

62 Responses to “CARA MENANAM ORKID DI MALAYSIA”

  1. rosmini othman Says:

    artikel ni byk bantu saya utk menjaga orkid saya dgn lebih baik,tq

  2. zainura66 Says:

    Pengalaman sendiri adalah lebih berharga sebenarnya. Jika rosmini menemui teknik atau tips yang beru, bolehlah berkongsi dengan saya di sini. Terima kasih dan salam hormat.

  3. fida Says:

    saya baru berjinak-jinak dengan orkid.saya ingin menanam orkid ditanah. bagaimana caranya. apakah baja yang sesuai untuk pokok orkid.bagaimana untuk menggalakkan orkid supaya sentiasa berbunga

    • zainura66 Says:

      Fida, saya rasa keterangan di atas adalah cukup jelas dan boleh dijadikan panduan untuk menanam orkid. Yang penting pengalaman kita sendiri dalam penanaman orkid untuk kita lebih ‘dekat dengan orkid tersebut. Maksudnya kita akan lebih mengenali akan sifat-sifatnya. Asas yang kita perlu tahu serba sedikit tentang orkid ialah tabiat dan sifatnya seperti faktor persekitaran yang sesuai seperti suhu, cahaya yang diperlukan, kelembapan media penanaman dan lain-lain. Jika ada sebarang kemusykilan, kita bolehlah berbincang di weblog ini untuk dan berkongsi pengalaman dengan bloger-bloger lain di weblog ini.
      Tentang baja pula, fida boleh cuba menggunakan sebarang baja organik. Kalau untuk orkid spesis, boleh gunakan buah pisang, betik etc (buah tempatan sebagai bajanya)

  4. kayserm Says:

    TQ ATAS MAKLUMAT YG DIBERIKAN..BANYAK MEMBANTU

  5. banyak sekali maklumat yang selama ini tidak langsung diketahui mengenai orkid didapati melalui laman ini. terima kasih banyak kerana sudi mengongsi ilmu ya…saya sudah miliki koleksi orkid yang banyak juga. pantang jumpa orkid cantik yang dijual mesti dibeli.

  6. anggun_orkid Says:

    saya m emilih untuk present tentang orkid mase kat kelas nt.
    dan input yang anda berikan kelihatan begitu membantu saya..minta izin amik maklumat tentang orkid nh??

  7. zalee Says:

    macamana kita nak tau yang sesuatu pokok orkid tu memerlukan kadar air yang banyak atau sikit sebab,hampir semua pokok orkid saya menggunakan moss di bahagian atas pasu ( menutup campuran arang & serpihan kayu ) ,kerana ada antara pokok orkid saya berdaun kuning dihujungnya,ada juga yang macam melecur atau menjadi kering di hujung daun…TQ

    • zainura66 Says:

      Biasanya jika kita gunakan moss, orkid tersebut akam sentiasa akan mendapat kelembapan dari moss tersebut. Dengan itu tidak digalakkan menyiram orkid terlalu banyak dan kerap air jika gunakan moss.

  8. umminawrah Says:

    salam, saya ingin bertanya, pokok orkid saya telah berbunga, tapi diserang semut yg banyak bila saya letakkan beranda rumah..mcm mana saya nak hindarkan semut bersarang dlm pasu orkid saya ? utk pengetahuan orkid tu baru 2 hari dibeli oleh suami sy beserta dgn bajanya sekali.

  9. ytumin Says:

    saya suka melihat bunga orked berkembang mekar dan segar,

    • masiam Says:

      ngee.. sya x dpt tahu mcm mna nak cantum debunga orkid ni.. utk kahwin kan dia dgn orkid lain wrna..sya nak sgt kawinkan orkid sya..

      • zainura66 Says:

        Masiam,

        untuk menghibridkan (kawin) pokok orkid kenalah belajar betul2 dgn pakar orkid atau mengambil mana2 kursus dlm mengendalikan orkid2 ini.

  10. Haliza Says:

    saya amat meminati orkid Blog ini banyak memenafatkan saya dalam mengetahui orkid2 yang saya tanam, Soalan saya apabila membaja pokok orkid, adakah perlu kita siram dulu kemudian membaja atau pun tak perlu menyiram dgn air apabila membaja
    harap menadapat petunjuk dari saudara
    terima kasih

  11. Fadzilah Says:

    saya juga peminat orkid.Dah hampir 10 tahun saya menggilai orkid.Malangnya kat Miri susah dapat benih ri mana boleh dapatterutama jenis vanda.Boleh bagi tau dari mana boleh mendapatkan benih melalui pos?

    • zainura66 Says:

      Agak susah juga jika melalui pos, kita tunggu suatu hari nanti negara kita mungkin ada kaedah lain cara pengiriman pokok-pokok orkid, nantikan…

  12. myza Says:

    umminaurah cuba gantung kan orkid tu..jgn letak kt ats beranda :)

  13. norbaya Says:

    salam,pokok orkid saya jenis catalia dah penuh dengan akar yang banyak dan dah dialihkan,tapi sekarang dah 2 minggu alih masih tak naik akar baru,nak buat macam mana ya?

    • zainura66 Says:

      Salam, sebenarnya pokok orkid adalah amat sensitif lebih-lebih lagi jika kita alihkannya sebab setelah dialihkan, ia memerlukan masa yang agak lama untuk menyesuaikan ‘dirinya’ dengan keadaan tempat barunya itu. Dengan itu, bersabarlah….

  14. didy tayab mahilum. Says:

    terima kasih atas tips tips anda tentang bunga orkid.karana saya adalah peminat bunga orkid.dan dapatla saya mengetahui serba serbi cara cara menanam pokok bunga orkid di kampung saya kg,merotai besar tawau, sabah.
    0

  15. zuar ahyar Says:

    terima kasih untuk tip anda yg amat berguna!….saya berminat untuk menanam di sekolah..jika ada tuan/puan ingin menyumbangkan orkid untuk ditanam di sekolah saya sila email di zuraahyar4498@yahoo.com.my.Sumbangan anda amat di hargai!…

    • zainura66 Says:

      Saya lebih kepada penyelidikan tentang orkid hutan dan hanya buat koleksi peribadi. Ini bermakna saya tidak mempunyai banyak stok orkid. Masa saya tidak hanya tertumpu kepada pokok orkid tetapi lebih kepada rawatan terapi.

  16. nadia Says:

    kenapa orkid saya berdaun kuning??siram cukup

  17. mohamadnaim Says:

    Apakah Baja untuk akar orkid cepat pertumbuhanya..apa jenis baja untuk pembesaran orkid.?dimana saya boleh dapatkan baja-baja tersebut.?

    • zainura66 Says:

      Tuan mohamadnaim,

      Sebenarnya pertumbuhan orkid secara semulajadi sememangnya adalah agak perlahan. Itulah sebabnya pemimat2 orkid yang sejati menganggap menanam orkid ini sebagai satu ‘challange’, lebih2 lagi jika menanam orkid spesis (hutan. Jika tuan masih mahu menggunakan baja, tuan cuba cari baja orkid organik seperti dari najis kelawar yang boleh dibeli di nurseri pokok.

  18. maryati bte beddu Says:

    terima kasih atas maklumat di dalam laman ni,saya akan mencuba merawat pokok2 orkid saya berpandukan maklumat tersebut…..

  19. azizah Says:

    saya membeli pokok orkid yang sedang berbunga, selepas bunganya layu, berapa lama pokok itu mengambil masa untuk berbunga semula? ( JENIS MONOPODIAL) apakah baja yang boleh menggalakkan pembungaan orkid jenis ini?

    • zainura66 Says:

      Saya menjangka saudari membeli pokok orkid ini di nurserikan ? Cuba saudari perhatikan samada orkid yang saudari beli itu adalah orkid spesis atau pun hibrid. Sekiranya orkid hibrid, ia telah mula dipupuk dengan baja bunga dari awal lagi. Dengan itu saudari kenalah membeli baja orkid agar ia akan berbunga kembali dan ia biasanya dijual di nurseri2 pokok dan hanya ikut panduannya sahaja. Jika ianya adalah orkid spesis, hanya memadai dengan baja secara semulajadi iaitu samada buah-buahan tempatan seperti pisang, betik, tembikai dan lain2.

  20. Zariah Mairaj Says:

    anak orkid yang tumbuh sekali dgn bunga…ada akar, bolehkah di potong dari poko asal dan ditanam semual.

  21. nyzarra Says:

    saya baru mau tanam blajar tanam orkid ni. ada beberapa pokok orkid yg sbelum ni saya tanam di atas tanah. saya ingin mengalihkan orkid – orkid tersebut ke tempat baru. adakah ia akan mati jika saya mengalihkannya? sbb ada rakan yg bgtau orkid akan mati kalau dialihkan..pls help!
    -=[-[

    • zainura66 Says:

      nyzarra,

      namanya pun baru mau tanam orkid, jangan risau kerana bagi orang yang dah biasa menanam orkid pun boleh mati orkid jika dialihkan ke tempat lain … itu namanya pengalaman baru. Jika kita tak cuba, kita pun tak kan tahu apa masalah dengan orkid yang kita tanam. Dengan itu cuba dan terus mencuba…

  22. yaayah Says:

    minat tanam orkid sejak ada laman rumah sendiri.dah ada 5 jenis orkid…..tapi tak tau cara penjagaan. minta nasihat

  23. harith Says:

    saya sudah lama tanam orkid akan tetapi pokonya tidak mahu berbunga
    adakah ianya berkaitan dengan baja ?

    • zainura66 Says:

      Orkid jenis apa yang tuan tanam; orkid spesis atau hibrid ? jika orkid spesis, ia bergantung kepada keadaan tempat, suhu dan musim. Tapi jika orkid hibrid, ia perlulah dipupuk dengan baja bunga yang ada jual di kedai bunga (nurseri pokok).

      Salam ceria selalu.

  24. Zie Says:

    Adakah pokok orkid blh hidup di kawasan yang ada aircond? Saya bercadang untuk letakkannya di office.

    • zainura66 Says:

      Untuk pengetahuan Zie, pokok orkid secara amnya adalah tumbuhan yang sensitif. Tambah-tambah lagi orkid spesis atau disebut orkid hutan/ liar. Faktor-faktor mengubah tempat orkid ditanam dan persekitaran yang tidak sesuai akan menjadikan pokok orkid itu ‘merajuk’ buat seketika atau mungkin mati. Ia akan mengambil masa untuk menyesuaikan dengan persekitaran barunya nanti atau tidak boleh hidup langsung jika tempat tersebut langsung tidak sesuai dengannya. Jika Zie tahu nama orkid tersebut serta keadaan habitatnya yang sebenar, tidak salah jika Zie ingin mencuba menanamnya di office.

      Di sini saya tidak dapat butiran lengkap mengenai orkid yang Zie ingin letakkan di office walaupun ada air-cond sebab bukan semua jenis orkid yang perlukan suhu sejuk sebab ada juga beberapa jenis orkid yang perlukan cahaya matahari samada sepenuhnya atau tidak. Itu sebabnya saya mengadakan weblog http://wannuraorkid.wordpress.com untuk dijadikan laman rujukan khusus untuk orkid.

      Salam ceria selalu. Terima kasih.

  25. Nur Hadirah Says:

    Mak saya suka sangat tanam pokok bunga orkid .. Bile dia dah berbunga cantik sangat !

  26. dahlia Says:

    daun pokok orkid saye daripada kehijauan semakin hari semakin kuning dan gugur…apa masalahnyer…
    tersalah baja ker, atau siraman yg berlebhan…

    • zainura66 Says:

      Dahlia harus tahu apakah jenis orkid yang ditanam samada orkid spesis atau pun orkid hibrid. Jika orkid spesis, cara penjagaannya berbeza di antara spesis yang berbeza mengikut tabiatnya atau pun sekurang-kurangnya perlu tahu di mana ia boleh di temui di dalam hutan. Jika orkid hibrid, adalah agak biasa penjagaannya seperti yang terdapat di kebanyakan nurseri pokok. Jika Dahlia kerap menyiram pokok orkid juga kadangkala menyebabkan daunnya bertukar kekuningan lalu gugur kerana terlebih air dan kurang terdedah kepada cahaya matahari.

  27. adam Says:

    Salam semua, saya baru beli orkid kat nurseri & nak try berjinak-jinak ngan orkid. Akan ada masalah tak kiranya saya gantungkan orkid kat dalam bilik air? coz rumah saya apartment yang tak ada balkoni. minta penjelasan dari yang lebih arif….tq

  28. adam Says:

    lupa lak nak tanya…minta jika boleh translatekan perkataan-perkataan mcm moss, pot & etc yang agak tercari-cari bg orang baru mcm saya nie…tq

    • zainura66 Says:

      Waalaikumsalam Adam,

      Adam hanya perlu pantau keadaan orkid tersebut dari segi perubahan warna daunnya dan kesegarannya. Bermula dari sini Adam akan dapat mempelajari tabiat atau sifat orkid tersebut terhadap persekitarannya.

      Salam ceria selalu.

  29. Ainul Mardiah Abdul Wahab Says:

    salam Tuan Wannura krn blog tuan byk membantu sy menyelami dunia orkid memandangkn sy masih “naive” ttg orkid tapi amat menggilai tumbuhan ciptaan Allah swt yg sungguh unik ini. Baru2 ini sy amat teruja melihat orkid jenis cymbidium yg hidup subur diatas dahan pokok. sy telah membeli benih cymbidium liar dan menggunakan media sabut kelapa utk melekatkan cym ini didahan pokok cempaka didepan rumah sy,,,ada rakan2 orkid mencadangkan media pakis lebih praktikel…soalan sy..bolehkah sy menggunakan sabut kelapa utk mengikut cym ini ?

    • zainura66 Says:

      Boleh saya tahu nama tepat orkid spesis ini. Mengikut pengalaman saya, cymbidium amat sesuai tumbuh di batang- batang pokok yang besar seperti durian atau rambutan dan akarnya tidak suka terlalu basah yg akan menyebabkan ia boleh mati.

      • Ainul Mardiah Abdul Wahab Says:

        Salam Puan,,,maafkn sy….masa beli benih cym tu sy terlupa nk tanya cym spesis apa,,,sbb terlalu teruja..tapi ada kawan2 penggemar orkid kata mungkin cym bicolor krn daun nya panjang lebih kurang 2 kaki & berdaun tebal. Kalau guna media fern atau pakis agak payah nk lekatkn pada pohon cempaka putih didepan rumah sy.Risau juga sbb takut ia berkulat krn menggunakan media sabut kelapa…memandangkn sekarang musim hujan. Adakah cym ini perlu shading atau cahaya penuh. Terima kasih krn Puan sudi memberi nasihat kpd sy.

      • zainura66 Says:

        Jika benar orkid spesis ini adalah Cymbidium bicolor, ia adalah orkid spesis yang biasa kita lihat hidup di batang-batang pokok yang lain di kebun atau di tepi-tepi jalan di sekitar kampung. Namun pokok ini hidup subur di kawasan sedikit teduh. Menggunakan medium samada akar paku pakis atau sabut kelapa kurang sesuai sebabnya medium-medium tersebut akan membuatkan akar cymbidium akan sentiasa lembap kerana sifatnya yang menyimpan air. Yang pasti akar cym memerlukan keadaan ‘basah kering’. Sungguhpun demikian saya rasa tak salah jika Ainul ingin mencuba medium tersebut untuk ujikaji terhadap orkid ini Dan yang pasti dibuat dengan pengawasan yang teliti. Jangan risau jika ujikaji kita tidak berjaya sebab kita mendapat sesuatu ilmu itu dari pengalaman yang kita lalui. Sila rujuk orkid Cymbiduim bicolor di weblog http://wannuraorkid.wordpress.com/ dan taipkan nama Cymbiduim bicolor di kotak carian untuk pengesahan orkid ini serta maklumat lanjut mengenainya.

        Selamat mencuba ! Salam ceria selalu.

  30. Ainul Mardiah Abdul Wahab Says:

    Salam Puan…baru2 ini sy ada membeli anak spesis orkid harimau setinggi 1 kaki. Sy agak ia mencapai 4 kaki nanti baru ia akan berbunga. Itu cabaran buat sy yg amat gilakan orkid. Sy mohon nasihat Puan media apakah yg paling sesuai utk orkid harimau ini. Sy bercadang utk menukar terus ke pasu besar & cantik agar tdk perlu menukar pasu byk kali. Terima kasih Puan.

    • zainura66 Says:

      Waalaikumsalam,

      saya pernah menggunakan sabut kelapa dan kulit-kulit kayu atau dahan-dahan kayu reput sebagai medianya. Pada saya itu pun memadai bagi orkid ini jika ditanam di dalam pasu yang besar.

      Selamat mencuba.

  31. farahani Says:

    mcm mane nk hubungi utk dapat kn maklumat baja

    • zainura66 Says:

      Anda boleh cuba hubungi alamat :

      nursery Harry

      PA 65791, Hala Tasek Timur 11, Kg. Tersusun Tasek,31400, Ipoh,Perak

      dan no. taliponnya ialah h/p : 012 – 463 7432 atau
      019 – 570 0797

  32. Ainul Mardiah Abdul Wahab Says:

    Salam puan..sy pernah bertanya kpd puan tentang media yg sesuai utk orkid spesis cym bicolar. Alhamdulillah ujikaji yg sy gunakan media sabut utk mengikat cym ini pd pokok bunga cempaka di depan rumah sy telah berjaya. Setelah hampir 7 bulan berlalu..cym ini hidup subur atas pokok bunga cempaka. Tapi ia masih belum berbunga. Melalui blog puan..cym bicolar ini biasa berbunga dari bulan ogos himgga oktober…walaupun cym ini biasa2 saja pd org lain..sy sungguh seronok melihat ia subur hasil semaian tangan sy sendiri. ia kelihatan asli atas pokok bunga cempaka itu. Terima kasih atas saranan puan utk sy buat ujikaji utk cym ini 7 bulan yg lalu.

  33. john n Says:

    thanks. nice blog.
    feel free to visit our web for automatic watering system for orchid etc

    http://www.sprinklerhouz.com/

  34. saiful Says:

    Salam, dimana boleh mendapat racun bakteria /kulat, dan nama dan brand terbaik. Terima kasih

  35. kat mana nak beli Sphagnum Moss di selangor? terima kasih~

  36. Johnd389 Says:

    I conceive you have remarked some very interesting points , regards for the post. dkedfdkcacec


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 72 other followers

%d bloggers like this: