Wannura

Koleksi Tumbuhan

KERIYANG DOT YANG SEMAKIN PUPUS Julai 13, 2010

Filed under: Buahan — zainura66 @ 3:08 am
Tags: ,

BUAH KERIANG DOT (KECIL)

BUAH KERIANG DOT SEMAKIN PUPUS

JERLUN 14 Mei – Bagi mereka yang tinggal di kawasan kampung di utara tanah air pasti mengenali buah keriang dot yang mempunyai bentuk yang hampir sama dengan buah anggur.


Jika dahulu pokok keriang dot mudah didapati di kawasan hutan dan pinggir kampung namun kini buah ini semakin sukar diperoleh. Mungkin juga generasi masa kini tidak lagi mengenali pokok dan buah keriang dot kerana pokoknya semakin pupus.


Pokok keriang dot hanya berbuah sekali dalam setahun sekitar bulan April hingga Mei dan buahnya akan bertukar menjadi warna hitam apabila benar-benar masak serta meninggalkan kesan berwarna hitam pada lidah apabila dimakan. Buah ini mempunyai rasa sedikit kelat namun manis apabila benar-benar masak dan kaya dengan khasiat daripada segi perubatan.


Ibrahim Mansur, 51, berkata, pokok keriang dot di halaman rumahnya sudah berusia hampir 20 tahun. “Ayah saya yang menanam pokok ini dan kami memang tertunggu-tunggu apabila tiba musim buah keriang dot. “Rasanya yang unik dan jarang ditemui menyebabkan rumah saya menjadi tumpuan apabila tiba musim buah ini,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Tempayan Pecah di sini baru-baru ini. Menurut Ibrahim, anak-anak kecil di kampung lebih mengenali buah ini dengan nama ‘anggur Malaysia’ kerana gugusan buah keriang yang masak kelihatan sama dengan buah anggur.
Katanya, selain mempunyai rasa yang enak buah ini juga berkesan bagi membantu pesakit kencing manis mengurangkan kadar gula dalam darah mereka.


“Bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis, mereka tidak perlu bimbang untuk menjamah buah ini kerana ia tidak mempunyai kesan yang buruk bagi penghidap penyakit ini.
“Biji buah keriang dot juga boleh dikeringkan, ditumbuk dan dibancuh dengan air panas untuk diminum,” jelasnya. Ibrahim menambah, buah keriang dot semakin sukar diperoleh kerana pokok keriang semakin pupus.


“Buah ini mempunyai khasiat daripada segi perubatan dan buah ini boleh dikomersialkan jika kajian saintifik mengenai khasiatnya dijalankan secara menyeluruh.”Saya amat mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu menjalankan kajian bagi mengetahui rahsia di sebalik buah keriang dot,” ujarnya.

(Sumber : http://hazila.blogspot.com/) :-

Buah Keriyang Dot ni banyak ditemui di sebelah Utara terutama nya di Kedah dan Perlis.

Ada 2 jenis buah keriyang iaitu  :

  1. Keriyang Dot ( buahnya agak besar ) ; dan
  2. keriyang ( buahnya kecil ).

Rasanya agak kelat dan kalau sudah ranum sedikit manis. Selalunya sebelum makan, buah ini dicuci dan direndam di dalam air garam.Kalau tak silap, di Kelantan ia dikenali sebagai Jambu Arang.

 

BAOBAB (Adansonia) POKOK MASA DEPAN ? Julai 11, 2010

Filed under: Buahan — zainura66 @ 4:36 am
Tags: , , , , , ,

POKOK BAOBAB

POKOK gergasi baobab yang berbentuk seperti botol dan mempunyai dahan bercabang ini turut membawa identiti mistik tersendiri.

PENGENALAN
Adansonia yang biasa dikenali sebagai pokok baobab adalah satu genus yang mempunyai lapan spesis; 6 pokok semulajadi di Madagascar, 1 di Afrika dan 1 di Australia. Nama lainnya termasuklah boab, boaboa, bottle tree, upside-down tree dan monkey bread tree.

Pokok dari spesis ini boleh mencapai ketinggian sehingga 5 – 30 meter dan dahannya berdiameter 7 – 11 meter. Glencoe Baobab, contoh Baobab Afrika di Limpopo Province, Africa Selatan adalah merupakan pokok baobab terbesar yang masih hidup dikatakan 47 meter tingginya (154 kaki) dan purata diameternya pula 15.9 meter (52 kaki). Pokok baobab dikatakan boleh hidup beribu tahun lamanya, namun sukar untuk dibuktikan fakta ini.

Pada awal tahun 2008, peningkatan untuk memajukan baobab ; produk yang kaya dengan nutrien itu bagi bahan mentah untuk produk pengguna.

KEGUNAAN POKOK BAOBAB:

  • SEBAGAI PENYIMPAN AIR

Pokok Baobab menyimpan air dalam batang pokoknya yang kelihatan seperti membengkak itu (sehingga 120,000 liter!) untuk membantu memberi kelembapan kepada kawasan persekitarannya . Ini berlaku pada waktu musim terutama musim kering kontang dengan meluruhkan daun-daunnya.

  • MAKANAN

Daun Baobab biasanya digunakan dalam masakan sebagai sayuran di Afrika. Ianya boleh dimakan segar atau pun setelah dikeringkan; digelar kuka dan selalunya dibuat sup.

Buahnya pula berkhasiat mungkin terdapat lebih vitamin C berbanding buah limau dan dikatakan juga melebihi kandungan kalsium daripada dalam susu lembu. Isi buahnya yang dikeringkan dan telah diasingkan dari bijinya dimakan begitu sahaja atau dicampurkan ke dalam bubur nasi atau susu. Di Malawi, isi buahnya digunakan untuk membuat jus yang berkhasiat. Di Zimbabwe pula, buahnya yang digelar mawuyu itu adalah buahan tempatan dan digunakan untuk membuat krim tartar . Di sebahagian tempat di Afrika Timur pula, isi buah yang dikeringkan disaluti dengan gula (selalunya berwarna merah) dan dijual dalam bungkusan sebagai candy yang dipanggil “ubuyu”. Biji baobab kebanyakannya digunakan untuk memekatkan kuah sup tetapi ada juga yang menjadikannya bahan perap dalam masakan, atau dibakar untuk terus digunakan atau pun dikisar untuk diekstrak minyak sayuran.

Pokok Baobab juga adalah merupakan sumber fiber, dye (pewarna) dan minyak mentah. Di Tanzania, bahan dari pokok ini dicampur ke dalam air tebu bagi membantu proses penapaian untuk membuat arak. Isi buah baobab boleh disimpan lama untuk digunakan dalam proses pengeluaran minuman ringan tetapi mestilah disimpan dalam bekas kedap udara.

MAKLUMAT TAMBAHAN

Sejak berabad lamanya, penduduk di seluruh benua Afrika telah menikmati keenakan dan kesegaran buah baobab. Ia dipercayai mampu mengubati demam panas atau cirit-birit dan kaya dengan kalsium.

Nama baobab dipercayai berasal daripada bahasa Arab, bu hibab yang bermaksud buah dengan beberapa biji.
Buahnya mempunyai rasa masam seperti kulit limau. Ada pula yang mengatakan ia seperti jus buah-buahan.

Ia kaya dengan khasiat. Itulah buah pokok baobab yang merupakan sejenis pokok berbatang besar yang terdapat di Afrika. Buahnya boleh dimakan. Namun, ia tidak kelihatan menyelerakan.

Bagaimanapun, firma-firma Eropah tidak lama lagi mungkin akan menggunakan pulpa atau isi buah tersebut sebagai perasa bagi coklat bijirin atau minuman selepas berjaya memperoleh kelulusan Suruhanjaya Eropah sebagai makanan.

Keputusan pada Julai lalu telah meletakkan buah tersebut pada radar pembangunan produk terhadap pengeluar makanan.

Pakar perniagaan dan pembangunan berharap perkara itu akan turut memberi faedah kepada jutaan rakyat Afrika yang hidup dalam kemiskinan kepada satu kehidupan yang lebih baik.

Laporan pada 2007 oleh Institut Sumber Semula Jadi Britain menganggarkan bahawa di bahagian selatan Afrika sahaja, penuaian pokok boabab boleh menjana pendapatan bernilai lebih AS$1 bilion (RM3.52 bilion) setahun dan menggaji hampir 2.5 juta pekerja.

“Potensinya amat besar. Kami yakin bahawa ia akan membawa satu keuntungan kepada semua terutamanya pengeluar,” kata Dr. Lucy Welford selaku pengurus pemasaran PhytoTrade Africa, sebuah organisasi perniagaan yang berkempen untuk kebergantungan kepada penggunaan produk asli Afrika.

Sejak berabad lamanya, penduduk di seluruh benua Afrika telah menikmati keenakan dan kesegaran buah baobab. Ia dipercayai mampu mengubati demam panas atau cirit-birit dan kaya dengan kalsium.

Adakalanya, kanak-kanak yang kelaparan akan menghisap isi buah baobab seperti snek.

“Saya boleh katakan ia seperti buah anggur dan asam jawa sebagai sejenis bahan perasa,” kata Welford yang menjangka buah baobab akan digunakan buat kali pertamanya sebagai perasa jus buah dan coklat bijirin.

Selain itu, buah baobab juga boleh digunakan untuk membuat aiskrim, jem atau produk berasaskan roti dan kek.

PhytoTrade mula memohon kelulusan untuk menjadikan isi buah baobab sebagai bahan perasa pada tahun 2006.

Welford berkata, kelulusan tersebut telah meningkatkan minat media dan syarikat tertentu dan PhytoTrade telah bertemu dengan pengeluar dan pengilang produk makanan di Britain untuk membincangkan potensi pasaran buah tersebut.

PhytoTrade bekerja dengan sebuah firma di Afrika Selatan, Afriplex yang membekalkan isi dan ekstrak buah baobab.

Pakar mengatakan pokok gergasi baobab yang berbentuk seperti botol dan mempunyai dahan bercabang membawa identiti mistik tersendiri dan sejarah yang bakal melariskan jualan produknya.

“Rasanya yang masam, berkhasiat dan kaya dengan vitamin serta cerita menarik di sebalik pokok baobab akan memberi nilai tambah terhadap produk yang dihasilkan daripada buahnya kelak,” kata pakar ekonomi, Ben Bennet yang menulis laporan untuk Institut Sumber Semula Jadi pada tahun 2007.

Mempunyai pelbagai nama seperti Upside-down tree kerana bentuknya yang ganjil, Bottle tree kerana kemampuannya menakung air atau Tree of life, pokok baobab telah melalui satu proses semula jadi yang lama dan mengagumkan.

Nama baobab dipercayai berasal daripada bahasa Arab, bu hibab yang bermaksud buah dengan beberapa biji. Buah baobab telah dijual di pasar-pasar sekitar Afrika Utara sejak abad ke-16.

Pokok itu biasanya boleh hidup sehingga 500 tahun. Malah, ada juga yang dikatakan hidup sehingga 5,000 tahun dan menjadi simbol kebanggaan warga Afrika.

Di Senegal contohnya, mayat ketua atau pemimpin sesuatu kaum akan ditanam di pangkal pokok baobab sebagai penghormatan kepada mereka.

BUAH BAOBAB

Sebelum lampu hijau diberi oleh Kesatuan Eropah terhadap penggunaan buah baobab untuk dijadikan makanan atau bahan perasa, beberapa orang luar telah pun mengetahui nilai istimewanya.

Sebuah syarikat di Itali, Baobab Fruit Company Senegal (BFCS) telah menghasilkan rangkaian produk daripada buah baobab di Senegal sejak beberapa tahun lalu termasuk isi buah, biji dan minyak untuk dijual di Eropah sebagai makanan tambahan dan produk kosmetik.

“Bagi kami, ia adalah buah masa depan. Ia mampu memberi kesan besar di Afrika,” kata Laudana Zorzella dari BFCS di Dakar yang telah mengkaji potensi buah baobab sejak sedekad lalu. – Reuters

 

DOKONG (Lansium domesticum Jack) BUAH YANG LAZAT Julai 8, 2010

Filed under: Buahan — zainura66 @ 8:17 am
Tags: ,

Pengenalan
Pokok dokong adalah sederhana besar, kanopi berbentuk ovate hingga lanceolate dengan ketinggian antara 6 m hingga 9 m. Batang pokok adalah lurus dan kulitnnya berwarna coklat kehijauan
Daunnya jenis pinat dan mempunyai 7–9 helai anak daun yang tersusun berselang-seli dan berbentuk eliptik atau obovat, sementara anak daun dipangkal berbentuk ovat. Permukaan atas daun berwarna hijau tua, licin, bersinar, dan berombak sedikit. Ciri-ciri ini merupakan ciri dokong yang membezakan nya dari Lansium yang lai.

Bunga tersusun dalam satu jambak berbentuk spika pada dahan dan di antara 1-8 jambak bunga keluar pada satu-satu tampok pembungaan pada dahan tersebut. Panjang spika ialah 15 – 20 cm dan bilangan bunga hermofrodit pada satu spika ialah di antara 20 – 50 kuntum berukuran 0.5 – 0.7 cm panjang dan juga 0.5 – 0.7 cm lebar.

Buah dokong tersusun padat sehingga 40 biji dalam satu tangkai. Buah berwarna kuning keperangan apabila masak, berbentuk bulat hingga obovat berukuran 3 – 4.7 cm lebar dan 3.5 – 5 cm panjang. Sebiji buah biasanya terdapat 5 ulas isi yang pejal dan rasanya manis dengan kandungan gula di antara 15 – 22 % brix.
Biji yang besar terdapat dalam semua buah bersaiz besar. Biji berbentuk bujur, mempunyai 1- 5 embrio dan boleh mengeluarkan 1- 5 anak pokok. (Sumber : http://jpn.penang.gov.my)

Dokong (Lanslum domesticum Corr) amat berpotensi untuk dimajukan dan digemari ramai sebagai buah yang dimakan segar. Pokok dokong boleh mencapai tahap ketinggian 6-10 meter. la boleh ditanam dari anak pokok dan cantuman. Bentuk pokok yang dibiak dari biji adalah oval, mananakala yang dibiak dengan cantuman akan lebih rendang dan terbuka.

Tanaman dokong didapati tumbuh dikebanyakan tanah mineral dan amat subur di tanah lanar sungai dan lom berpasir. la juga memerlukan tanah yang dalam, gembur, mempunyai bahan organan yang tinggi, cukup kelembapan dan mempunyai saliran yang baik.

Dokong merupakan sejenis buah-buahan yang mempunyai potensi dan berdaya maju untuk dikomersilkan masa kini. Dokong dipercayai berasal dari Kg. Simpul, Daerah Tanjung Mas di Wilayah Narathiwat, Thailand. Di Thailand, dokong dikenali sebagai longkong atau longgong dan ia adalah satu tanaman tempatan yang berekonomi tinggi dengan harga pasaran yang amat lumayan. Thailand juga telah mulai mengeksport dokong bersama buah-buahan tropika lain ke negara-negara seperti Jepun dan Hong Kong.
Dokong dibawa masuk ke Malaysia dari Thailand dan telah ditanam di kawasan bersempadan dengan negara jiran seperti Jajahan Jeli dan Tanah Merah di Kelantan, Besut dan Jerangau di Terengganu dan Baling di Kedah.

Terdapat tiga jenis dokong yang agak berlainan dari segi ciri dan kualiti buah, iaitu dokong kering, dokong air dan dokong biji atau dokong butir. Perbezaan di antara ketiga-tiga adalah seperti berikut:-

(a) Dokong Kering
Dokong yang ditanam secara komersial ialah dokong kering kerana buah dokong kering sangat manis, kulit tidak bergetah, kandungan biji yang rendah dan kebanyakan biji adalah keset. Buahnya tersusun rapat di tangkai dan oleh sebab itu kebanyakan dokong kering berbentuk muncung atau lonjong. Terdapat juga bentuk buah bulat, bujur dan variasi lain dalam kategori dokong kering ini.
(b)  Dokong Air
Kandungan air dalam buah dokong jenis ini adalah tinggi. Air akan terpancut keluar apabila kulit ditekan. Bentuk buah dokong air adalah bulat. Isi buah kurang manis jika dibandingkan dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis tetapi bergetah. Dokong air tidak ekonomik ditanam secara komersial kerana nilai dan sambutan pasaran adalah rendah.
(c) Dokong Biji Atau Dokong Butir
Setiap ulas dokong biji mengandungi satu biji benih yang besar dan bernas. Isinya sangat nipis, tidak berair dan rasanya masam-masam manis. Kulitnya lebih tebal dari dokong kering dan dokong air tidak bergetah. Buah dokong biji tidak mempunyai nilai komersial tetapi bijinya boleh diguna sebagai sumber benih pokok penanti.
 

LONGAN (Dimocarpus longan): BUAHAN PENAWAR PENYAKIT Julai 7, 2010

Filed under: Buahan — zainura66 @ 6:21 pm
Tags: , , , , , ,

Pengenalan
Longan adalah sejenis pokok berbuah. Nama saintifiknya ialah Dimocarpus longan dari keluarga Sapindaceae. Pokok longan berasal dari Asia Tenggara. Buah longan boleh dimakan atau dijadikan ubatan dalam tradisi orang Cina.

BUAH LONGAN PEMBERI TENAGA
Buah longan digemari kerana rasanya yang manis dan sedap di makan begitu sahaja. Jika tidak disebabkan imigran dari China yang membawanya ke negara ini mungkin kita tidak dapat menikmati keenakan buah ini. Buah longan dikatakan adik kepada buah laici kerana ia lebih kecil saiznya. Dalam masyarakat cina, buah longan jarang di makan begitu sahaja; biasanya mereka menggunakan buah ini dalam perubatan.

Terdapat pelbagai vitamin dan mineral yang terkandung dalam buah longan. Antaranya zat besi , magnesium, fosforus, potassium dan sejumlah besar vitamin A dan C. Buah longan juga di katakan mempunyai sebatian fenolik di dalam buahnya seperti asid gallik, corilagin dan asid ellagik. Ini menunjukkan buah longan mempunyai bahan anti-oksidan pelindung hati.

KHASIAT LONGAN

Bahagian tanaman longan yang paling menonjol manfaatnya adalah bahagian buah. Namun begitu bahagian yang lain seperti akar, biji, daun dan pokoknya juga mempunyai manfaatnya tersendiri .

  • Akar dan daunnya mempunyai quertin dan quercitrin .  Akarnya boleh membersihkan saluran air kencing dan melancarkan peredaran darah . Daunnya pula boleh digunakan untuk ubat anti radang dan meredakan demam.
  • Bijinya walaupun keras tetapi mempunyai khasiat antaranya untuk menghilangkan rasa sakit . Bahagian biji juga mempunyai khasiat lain antaranya bermanfaat sebagai bahan pembuat syampu rambut kerana kandungan saponin yang dapat menghasilkan buih yang banyak.
  • Isi buah longan dikatakan boleh bertindak sebagai stomatik (agen yang merangsang aktiviti rembesan digaster dan digunakan sebagai tonik untuk meningkatkan selera makan ),  febrifuge (rawatan atau ubat yang mengurangkan atau mencegah demam ) dan vermifuj ( sebarang ubat atau agen kimia yang digunakan untuk singkirkan cacing dari usus). Air rebusan buah yang telah dikeringkan boleh digunakan sebagai tonik dari rawatan imsonia . Buah longan juga boleh meningkatkan stamina kerana mempunyai sukrosa, protein, lemak, glukosa, dan asid tartaric. Bagi ibu hamil yang lemah atau selepas bersalin dikatakan baik untuk mendapatkan kembali tenaga yang hilang. Namun perlulah meminta nasihat doktor terlebih dahulu. Manfaat lain apabila memakan buah longan secara teratur dapat mengurangi demam, menambah nafsu makan, mencegah anemia dan rambut beruban.

Selepas ini kita bolehlah menikmati keenakan buah longan ini dengan mendapat khasiatnya sekali. Namun, harus diingat jangan terlalu berlebihan kerana dikhuatiri memberi kemudaratan lain pula.

(Sumber : http://syawanamisni.blogspot.com/)

MAKLUMAT TAMBAHAN

Anda jangan terkeliru di antara Pokok Mata Kucing dan Pokok Longan . Pokok mata kucing merupakan sejenis sub-spesies pokok Longan. Buah mata kucing ini dikenali sedemikian kerana rupa dan saiz buahnya yang seperti mata kucing. Buah mata kucing kecil sedikit dari buah longan.
Tanaman buah Longan ada 4 jenis iaitu Edaw, Chompoo, Biew Khiew dan Klon Diamond/Belian di mana yang di tanam di Malaysia  hanya dua klon yang popular ialah Klon Edaw dan Klon Belian. Tanaman longan di Malaysia merupakan komoditi baru dan Malaysia merupakan negara pengimpot buah longan segar dan longan proses yang terbesar dari Thailand bernilai lebih 7,650 metrik tan dengan nilai lebih RM 12.4 juta pada tahun 2007.  Seluas 60 – 80 hektar tanaman longan di tanam di Malaysia terutama di Johor, Melaka, Selangor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

LONGAN ADA BAHAN PENGAWET

KOTA BHARU – Bagi penggemar buah longan, anda diingatkan supaya berhati-hati ketika memakannya kerana dikatakan mengandungi bahan kimia pengawet ‘Sulfur Dioxida’ yang meninggal kesan negatif terutama kepada pesakit asma. Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Lila P. Mohamed Meeran berkata, mereka yang memakannya boleh mengalami pening dan sakit kepala, berpeluh, hidung berair dan kegatalan kulit.
Katanya, sulfur dioksida yang merupakan sejenis bahan pengawet digunakan secara meluas bagi mengekalkan warna dan tekstur buah termasuk buah longan.
“Peraturan-peraturan makanan 1985 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan hanya membenarkan penggunaan bahan berkenaan sebagai bahan pengawet tetapi tidak melebihi 30 miligram (mg) bagi setiap kilogram buah berkenaan, “Tetapi penggunaan bahan berkenaan melebihi had yang dibenarkan dan sering dikesan dilakukan oleh pihak-pihak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.(Sumber : http://www.ehoza.com/v4/forum/isu-semasa-2008/19411-longan-ada-bahan-pengawet.html)

 

Buah longan hidup subur di Kampung Lasah

Filed under: Artikel — zainura66 @ 6:03 pm
Tags: , , , , , ,

SUNGAI SIPUT 3 Jun – Buah longan yang juga dikenali sebagai buah mata kucing didapati   hidup subur di Kampung Lasah, kira-kira 30 kilometer dari sini dengan setiap pokok mampu mengeluarkan buah antara 2,000 hingga 2,500 biji setiap kali berbuah.
Malah, apa yang menarik, buah longan yang ditanam di kawasan itu juga didapati lebih manis,

berisi tebal dan lazat jika dibandingkan dengan buah longan yang terdapat di pasaran.
Seorang petani, Yat Abdul Rahman, 78, yang menanam pokok berkenaan sejak empat tahun lalu berkata, longan adalah sejenis pokok berbuah dengan nama saintifiknya Dimocarpus longan dari keluarga Sapindaceae yang ditanam di sini tidak mudah diserang penyakit di samping tidak memerlukan jagaan rapi.
“Buah longan yang dihasilkan di sini terlalu lebat dan saya merasakan inilah pengeluaran tertinggi yang dapat saya lihat sehingga setiap ranting mengeluarkan buah. “Saya dapat lihat setiap tangkai atau ranting pokok itu mengeluarkan antara 50 hingga 60 biji dengan buahnya sebesar syiling 50 sen sehinggakan saya perlu berhati-hati kerana takut pohonnya patah akibat terlalu berat dengan buah yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menanam buah ini yang berasal dari China dan Thailand di halaman rumahnya. Kata Yat, buah ini begitu mudah hidup di kawasan ini dan sehingga kini tidak timbul masalah seperti serangan penyakit yang boleh merosakkan tanaman.“Pokok ini hanya perlu disiram dengan air dan ditabur sedikit baja untuk melebatkan buahnya,” katanya.
Yat berkata, pokok longan yang rendang di kampung berkenaan boleh berbuah dalam tempoh dua tahun dan kualitinya begitu berbeza dengan yang terdapat di pasaran. Katanya, ia berbuah dalam tempoh dua kali setahun dan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk masak sepenuhnya. “Saya dapati pokok ini boleh berbuah dalam tempoh dua tahun selepas ditanam dan sehingga kini saya sudah dapat merasai buah yang lazat dan manis ini selama tiga musim,” katanya.

Pada masa ini, dianggarkan lebih kurang 20 hektar tanah di Kampung Lasah yang kebanyakannya kawasan sawah terbiar ditanam dengan pokok buah tersebut. Buah yang mempunyai kandungan antioksidan ini juga sesuai bagi wanita hamil dan dikatakan bijinya boleh digunakan untuk mengubati gigitan ular.

Yat berkata, beliau berminat untuk menanam pokok ini setelah Jabatan Pertanian Kuala Kangsar mendapati buah-buahan ini sesuai di tanam di sini. Katanya, ia mungkin disebabkan Kampung Lasah ini mempunyai keadaan suhu yang sederhana di sebabkan di sekelilingnya masih diliputi dengan tumbuh-tumbuhan dan berhampiran dengan kawasan pergunungan. Beliau berkata, oleh kerana kesuburan dan kesesuaian tanah di kawasan ini, ada petani yang menjualnya dengan harga RM6 sekilogram.

 

BINJAI (Mangifera caesia) BUAH MASAM DISUKAI RAMAI Julai 4, 2010

Filed under: Buahan — zainura66 @ 8:57 pm
Tags: , ,

Binjai adalah pohon buah sejenis mangga dengan bau yang harum menusuk dan rasa yang masam manis. Buah ini juga dikenal dengan beberapa nama lain seperti bin-yaa, lam-yaa (Th.), belenu (Mly., beluno (Sabah), baluno, bauno, bayuno (beberapa bahasa di Filipina), binglu (Sd.), dan wani (Bl.). Nama ilmiahnya adalah Mangifera caesia. Binjai terutama ditanam untuk buahnya, yang biasa dimakan segar setelah buah itu masak atau dijadikan campuran es. Binjai juga digunakan sebagai campuran sambal, terutama untuk masakan ikan sungai. Buah binjai yang masih muda tidak dapat dimakan kerana sangat tajam (sangat masam) dan menggatalkan. Bijinya kadang-kadang dikeringkan dan diolah sebagai lauk makan nasi.

Kayu binjai dapat digunakan sebagai papan lantai dan bahan konstruksi ringan.

Binjai menyebar secara alami di Sumatra, Kalimantan dan Semenanjung Malaya; sebagian pakar meyakini Kalimantan adalah lokasi asal-usulnya. Dari wilayah-wilayah ini, binjai dibawa dan dibudidayakan orang di Bali, Filipina dan Thailand, serta agak jarang di Jawa bagian barat.

Binjai terutama menyebar di dataran rendah di bawah 400 m, jarang hingga 800 m dpl. Jenis ini tahan terhadap penggenangan, dan seringkali didapati dekat tepi sungai. (Sumber : http://hazila.blogspot.com/)

Kerepek binjai merujuk kepada kerepek yang dihasilkan dari buah binjai. Buah binjai yang dikopek akan ditumbuk bagi menghasilkan kepingan dan dikeringkan. Sekiranya buah binjai yang digunakan itu kecil, beberapa biji buah akan dikapuh menjadi satu dan ditumbuk untuk membentuk sekeping kerepek. Kerepek binjai yang telah dikeringkan akan digoreng sebelum dihidangkan. Kerepek binjai goreng mempunyai rasa sedikit pahit yang mungkin tidak berapa digemari oleh mereka yang tidak biasa memakannya, tetapi bagi mereka yang biasa memakannya, rasa itu yang menyebabkan mereka menggemarinya. Terdapat juga kerepek binjai yang digoreng dan disira dengan air gula bagi menghasilkan kerepek binjai sira. Kerepek binjai dan kerepek binjai sira amat digemari oleh penduduk pantai timur, terutamanya di Terengganu.

KHASIAT BUAH BINJAI
Buah binjai yang mengandungi banyak sari buah dan asam-manis rasanya dapat dimakan dalam keadaan segar setelah buahnya matang dan sebagai pencuci perut.

Baunya memang wangi…dari  jauh pun boleh terhidu aromanya, sungguh wangi …tapi rasanya sangat masam bila dimakan mentah dan segar. Di Terengganu, ia biasanya dijadikan asam dijadikan asinan dan diawetkan dalam garam
dan disimpan dalam botol untuk membuat sambal jika tidak sedang musim buah.

 

CERMAI ASAM (Eugenia uniflora L.) PENAWAR KANSER PROSTAT Julai 2, 2010

Filed under: Buahan — zainura66 @ 2:38 am
Tags: , , ,

Pengenalan
Nama lain bagi tanaman ini ialah Ceri Surinam (Surinam Cherry), Ceri Brazil (Brazilian Cherry) atau Ceri Cayenne (Cayenne Cherry) adalah tanaman semulajadi bagi America tropika.

Ia merupakan tanaman perdu yang pohonnya keras boleh tumbuh sehingga 8 meter ketinggiannya. Daunnya berwarna hijau berkilat bila matang dan pucuknya pula adalah berwarna tembaga itu bersaiz 4 sm panjang. Bunganya berwarna putih dan mempunyai sedikit aroma itu akan menghasilkan buah yang berwarna hijau ketika muda dan bertukar ke merah apabila matang dan berdiameter 2 sm. Rasa buahnya pula ada yang manis dan ada pula yang masam; bergantung kepada keadaan penanamannya serta tahap kematangan buah itu sendiri (buahnya yang berwarna merah ke kehitaman adalah lebih manis rasanya manakala hijau ke jingga atau oren adalah rasa masam) . Buahnya yang kaya dengan vitamin C selalunya dicampur dalam masakan sebagai perasa dan juga ada yang menjadikannya sebagai jem atau agar-agar.

Kegunaannya
Pokok ini biasanya ditanam di kebun dijadikan sebagai pagaran atau pokok pelindung. Ia juga banyak digunakan sebagai cenderamata tasbih, tongkat dan lain-lain, bahkan ada sebahagian orang yang percaya kayu tersebut keramat (bertuah) dan boleh dijadikan azimat.

Secara perubatan tradisional, memakan buahnya juga dikatakan dapat menurunkan kolesterol dan tekanan darah tinggi. Selain daripada itu, menurut kajian yang telah dibuat, ia juga dikatakan dapat menjadi penawar kepada kanser prostat.

 

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 74 other followers