Wannura

Koleksi Tumbuhan

Sepenuh untuk merawat sakit sendi jenis reumatisme. Julai 31, 2012

Pengenalan

Sepenuh atau nama saintifiknya Proiphys amboinensis (L.) Herbert adalah dari keluarga Amaryllidaceae. Nama lainnya ialah Si kenyang, Si kudip.

Pokok jenis herba yang mempunyai bebawang di dalam tanah.

Daun berbentuk jantung tetapi lebar bulat, tajam di hujung daun, 12-28 sm panjang dan 13-23 sm lebar, tangkai daun 23-28 sm panjang.

Bunga berwarna putih pada jambak bunga jenis umbel, satu jambak mempunyai 10 atau lebih kuntuman bunga, bunga pada satu jambak akan kembang satu demi satu dalam tempoh 2 minggu.

Kandungan

Semua bahagian – likorin, karbohidrat, mineral dan serabut.

Taburan

Sepenuh berasal dari Malaysia, Indonesia, Filipina hingga ke negara Australia. Ia tumbuh samada secara meliar ataupun ditanam di beberapa kawasan di sekitar Asia Tenggara.

Penanaman

Sepenuh lazimnya ditanam dengan menggunakan bebawang dari dalam tanah ataupun bijinya disemai. Ia boleh ditanam di dalam pasu atau di atas tanah secara barisan ataupun secara berkelompok. Ia amat sesuai ditanam di kawasan yang separuh teduh. Penanaman secara biji mengambil masa yang terlalu panjang untuk memperoleh bunganya.

Penyakit/ Perosak

Sepenuh biasanya tidak menghadapi masalah penyakit ataupun perosak yang serius.

Khasiat ubatan

Bebawang : Cecair bebawangnya digunakan untuk meransang muntah dan sebagai penawar racun anak panah atau sumpitan, racun haiwan serta penawar racun dalam makanan. Sekeping bebawang dikunyah sebagai penawar racun ikan ataupun udang.

Daun : Ditumbuk lumat dan dibuat ubat pupuk untuk merawat sakit sendi jenis reumatisme.

Kegunaan lain

Sepenuh digunakan untuk menghalau dan menghalang hantu memasuki rumah. Ia juga ditanam bersama padi untuk menjamin hasil yang lumayan. Daunnya digunakan sebagai pengebas dalam upacara seperti menuai padi, menangkap ikan dan perkahwinan.

Penggunaan sepenuh sebagai ubat herba dalaman boleh menghasilkan muntah yang teruk dan memberi kesan toksik. Ia berbahaya jikalau terlebih digunakan terutamanya kepada orang yang alah atau sensitif.

Rujukan :Tumbuhan liar: Khasiat ubatan & kegunaan lain oleh Hean Chooi Ong.

 

Seburut ubat tradisional perancang keluarga Julai 24, 2012

Pengenalan
Seburut atau nama saintifiknya Thottea grandiflora rottb. adalah dari keluarga Aristolochiaceae. Nama lainnya ialah Kurubut, Semubut, Seperuit, Gereboh, Telinga Kelawar.

Pokok renek setinggi 3 m tetapi biasanya 1m tinggi sahaja; tumbuh berumpun, ada batang di dalam tanah yang bercabang dan menghasilkan batang yang tumbuh lurus tegak, batang atas tanah jarang-jarang bercabang kecuali kalau patah atau cedera.

Daun berbentuk lonjong atau bujur telur, 15-30sm panjang dan 9-20sm lebar, permukaan kasar, liat, permukaan bawah berbulu.

Bunga dalam jambak sepanjang 5 sm; bunga berjuntai, boleh mencapai 12.5 sm panjang , warna ungu kemerah-merahan, urat berjalin jelas kelihatan, berbulu.

Buah jenis kapsul tirus, 10-15 sm panjang.

Kandungan
Semua bahagian – saponin, triterpin dan steroid.

Saponin ada jenis beracun, meransang hingus, kesan antiradang dan sebagai tonik lelaki atau tonik wanita. Steroid berkesan sebagai ubat perancang keluarga (menjarangkan anak dan juga untuk menambah kesuburan wanita), meningkatkan kemungkinan hamil, mengawal edaran haid, penawar alahan, ubat busung, artritis , sakit jantung dan lain-lain.

Taburan
Seburut mempunyai taburan semulajadi di Mynmar, Semenanjung Malaysia dan Singapura. Di Semenanjung Malaysia, seburut paling banyak terdapat di bahagian selatan.

Penanaman
Seburut boleh ditanam dengan menggunakan biji atau potongan rizom yang diasingkan dan ditanam semula. Keadaan yang kurang sesuai seperti di taman atau kebun kerana terlalu banyak cahaya matahari, udara, tanah terlalu kering atau tanah terlalu banyak air menyebabkan seburut tumbuh sangat perlahan atau terus mati. Ia tidak mengalami musim bunga. Oleh itu ia boleh berbunga sepanjang tahun.

Ekologi
Seburut tumbuh liar di hutan pamah hingga ke hutan bukit pada ketinggian 600 m dari paras laut. Seburut memerlukan naungan dan keadaan yang lembab.

Khasiat ubatan
Batang (dalam tanah), Akar dan Pangkal pokok : Air rebusannya diminum sebagai tonik yang mujarab untuk ibu selepas bersalin; rawatan batuk kering, demam panas, demam malaria dan disentri.

Kegunaan lain
Bunga Seburut yang besar dengan corak warna dan kelopak yang cantik cukup menarik perhatian, tetapi ia berbau busuk sedikit. Namun, pokok ini berpotensi sebagai tanaman eksotika kepada peminat flora.

Rujukan :Tumbuhan liar: Khasiat ubatan & kegunaan lain oleh Hean Chooi Ong.

 

Reriang

Filed under: Landskap — Wannura @ 9:38 pm
Tags: , ,

Ciri-ciri

Pokok renek, kecil atau sederhana besar, setinggi 20 meter, kadangkala sampai 30 m tinggi, batang pokok biasanya tegak dan lurus, ukuran garis pusat pada paras dada sampai 15 sm; pokok reriang yang tumbuh di habitat paya menghasilkan akar jangkang.

Daun jenis ringkas, susunan berpilin daun muda bergulung.

Bunga pada ketiak daun, tunggal, korola berwarna putih dan bercampur sedikit merah jambu, selebar 2.5-3 sm.

Buah jenis kapsul yang merekah dari pangkal ke apeks, berwarna hijau sebelum masak dan bertukar perang setelah masak.

Kandungan

Daun – alkaloid

Pokok –terpen. Ada juga sampel yang menunjukkan reriang tidak mengandungi alkaloid atau terpen. Faktor ini disebabkan perbezaan baka, usia dan keadaan sekeliling tumbuhan.

Taburan

Reriang mempunyai taburan semulajadi di Malaysia, Kemboja, Thailand dan Indonesia.

Penanaman

Reriang boleh ditanam dengan menggunakan biji. Biji segar yang telah disemai terus bercambah pada kadar yang kurang memuaskan. Biji yang disimpan dalam keadaan gelap selama 2 minggu atau lebih akan memberi kadar percambahan yang lebih baik. Pokok reriang tahan lasak walaupun ia selalu ditebang, kerana akarnya menghasilkan banyak tunas yang akan tumbuh menjadi pokok yang baru. Reriang juga boleh ditanam dengan kaedah tut, keratan akar atau ranting. Ia juga sesuai ditanam di dalam pasu sebagai hiasan.

Ekologi

Reriang tumbuh liar dalam hutan sekunder dan di belukar pada ketinggian sehingga 700 m dari paras laut. Pokoknya jarang-jarang dapat hidup pada ketinggian sampai 1300 m dari paras laut. Reriang biasanya tumbuh banyak di satu-satu tempat sebagai spesis dominan. Ia lebih kerap kedapatan di tanah berpasir yang kering dan berasid. Ia juga kerap ditemui di paya air tawar yang cetek dan dasar sungai berbatu tetapi ia jarang-jarang tumbuh di paya gambut air payau. Di kawasan tanah berbatu dan cetek, ia tumbuh sebagai pokok renek kecil yang boleh menghasilkan bunga dan buah, walaupun bersaiz kecil.

 

Setawar kampung melegakan serangan tibi Julai 22, 2012

Pengenalan

Setawar kampung ialah tumbuhan asli di kawasan bukit di India. Kini pokok ini ditanam di serata dunia tanpa mengira jenis iklim kerana ia boleh hidup jika ditanam di dalam bangunan di kawasan yang beriklim sejuk.

Pokok herba yang mengandungi banyak air dalam tisu ini, tumbuh secara tunggal setinggi 0.75 m.

Daun berukuran 8-15 sm panjang, terbahagi antara 3-5 bahagian, setiap satu berbentuk mata lembing; setiap bahagian pula mungkin terbahagi lagi dengan bentuk gerigi atau cuping, susunan daun secara bertentangan tetapi daun di pucuk tersusun secara berpusar dan tidak terbahagi.

Bunga pada jambak yang besar di pucuk pokok, berbentuk tiub sepanjang hampir 2 sm dan 2.5 sm lebar; berwarna kuning, oren atau merah.

Kandungan

Daun ~ asid organan berwarna kuning, asid malik, asid tartarik, kalsium oksalat, kalsium sulfat, klorofil, krim tartar, lemak dan musilaj.

Cecair atau isi daun ini boleh menyebabkan gatal-gatal atau radang kulit, terutamanya jenis kulit yang sensitif kerana dicalar hablur kalsium oksalat.

Penanaman

Setawar kampung lazim ditanam menggunakan cabangnya yang tumbuh di sekitar pangkal pokok. Cabang ini dipisahkan dari pokok induk lalu dipindah tanam di tempat lain. Pokok ini juga sesuai ditanam di dalam pasu atau di atas tanah. Pokok ini biasanya tidak menghadapi masalah penyakit atau perosak. Tanah yang bertakung air boleh melemaskan akar pokok dan dijangkiti kulat lalu mati.

Khasiat ubatan

Daun : Ditumbuk lumat-lumat dan ditampal pada kulit yang bengkak, gigitan atau sengatan serangga, kulit kasar, luka, kudis dan ulser; pada pelipis untuk merawat sakit kepala; dan pada tengkuk untuk merawat sakit kerongkong dan selsema.

Cecairnya diperah dan ditelan untuk menghentikan cirit, disenteri , menyingkirkan batu karang dan melegakan serangan tibi.

Daunnya dibuat losyen untuk disapu pada tempat cacar.

Air rebusan daun bersama rantingnya diminum atau cecairnya diperah dan ditelan untuk merawat kecederaan, lecur, luka, pendarahan, penyakit kulit, bisa patukan ular, salah urat dan terseliuh. Pada masa yang sama tumbuhan ini dibuat ubat pupuk pada tempat tersebut.

Kegunaan lain

Ranting yang berdaun daripada pokok setawar kampung digunakan untuk memanggil makhluk halus yang baik dan menjauhi makhluk halus yang jahat. Ia digunakan dalam upacara penyembuhan dan mandian bayi.

Rujukan : Tanaman hiasan : khasiat makanan & ubatan oleh Hean Chooi Ong

 

Semarak api indahkan taman Julai 9, 2012

Filed under: Landskap — Wannura @ 7:26 pm
Tags: , ,

Semarak Api atau kadang-kadang disebut sebagai Flame of The Forest sebenarnya adalah sejenis pokok hutan yang berasal dari Madagascar dan tersebar ke serata dunia khasnya di kawasan berhawa panas. Ia disebut sebagai Delonix Regia dalam terma saintifik dan biasanya menjadi mercu tanda sesebuah taman kerana keunikan warna bunganya.

Di Malaysia pokok ini tumbuh meliar di hutan-hutan dan sekarang telah menjadi pilihan untuk ditanam di tepi-tepi jalan sebagai tumbuhan hiasan. Pokok semarak api adalah jenis pokok besar yang boleh mencapai ketinggian berpuluh-puluh kaki dengan batang dari kayu keras dan berdaun kecil.

Keunikan pokok ini adalah bunganya yang merah bercampur oren dan kelihatan sangat terang dan jelas di antara pokok-pokok yang lain. Sesetengah pokok ini bunganya terlalu banyak hingga melindungi daunnya yang kecil. Bunganya yang kemerahan inilah yang mencantikkan pemandangan setempat.

Ia boleh dibiakkan dengan semaian biji benih yang boleh didapati dari buahnya seperti kekacang yang panjang dan lebar. Di dalam kekacang inlah terdapat biji-biji yang boleh disemai dan dibiakkan. Setakat ini belum ditemui kegunaannya yang lain selain memberi keindahan dan kecantikan bunganya.

 

Ekor kucing untuk si kencing manis Jun 26, 2012

Filed under: Herba — Wannura @ 12:07 am
Tags: , , , , ,

Pokok ini biasanya masyarakat Melayu jadikan minuman bagi pesakit kencing manis. Daunnya akan dikeringkan terlebih dahulu dan rendam 2 – 3 helai daun tersebut ke dalam air panas. Minum setelah suam.

Ada juga yang menggunakan pokok ini untuk dibuat mandian, terutama bagi wanita selepas bersalin. Selain dari itu, jika pesakit yang mengalami sengal-sengal badan juga boleh mandi dengan daunan herba ini.

 

Pokok Kanser (Pereskia sacharosa) Jun 24, 2012

Filed under: Herba — Wannura @ 5:38 pm
Tags: , , , , , ,

Jarum Tujuh Bilah, jarum tujuh, pokok kanser atau Chat Sim Chan merupakan sejenis pokok yang terdapat di Malaysia dan negara Asean lainnya. Nama saintifiknya ialah Pereskia sacharosa/saecnarosa. Tumbuhan dari keluarga kaktus (Cactaceae) ini mungkin satu-satunya kaktus yang mempunyai daun yang sebenar.Ia dipercayai berasal dari Brazil, Paraguay, Uruguay dan Argentina dan pokok ini merupakan genus paling primitif dalam keluarga kaktus. Malah ia merupakan tumbuhan yang agak lasak dan boleh beradaptasi dengan hampir semua iklim kecuali tundra. Keadaan optimum untuk pertumbuhannya adalah sinar matahari yang terang dan iklim tropika Ia adalah tumbuhan yang mudah membiak. (more…)

 

Bunga Sakura (Prunus serrulata) Jun 23, 2012

Filed under: Landskap — Wannura @ 1:19 pm
Tags: , ,

Pengenalan
Sakura, Bunga Sakura atau Cherry Blossom dalam bahasa Inggeris (huruf-huruf kanji dan bahasa Cina: 桜 atau 櫻; katakana: サクラ) ialah nama yang merujuk kepada pokok-pokok hiasan ceri dalam bahasa Jepun, Prunus serrulata, serta kelopak-kelopak mereka. Buah ceri (dikenali sebagai sakuranbo) muncul daripada sebuah spesies pokok yang berbeza. Selain itu, Sakura juga merupakan nama yang seringkali digunakan masyarakat Jepun. (more…)

 

Janda Kaya yang menawan Jun 20, 2012

Filed under: Landskap — Wannura @ 9:56 pm
Tags: , , , , , ,

Pokok Janda kaya dikenali juga sebagai Musa Indah. Nama saintifiknya ialah Mussaenda pubescens adalah dari keluarga Rubiaceae Sifat pokok ini yang sering berbunga lebat sepanjang tahun menyebabkan ianya digelar ‘Janda Kaya’. Ia mudah ditemui dan sering dijadikan tanaman hiasan lanskap samada laman rumah, di tepi jalan dan taman. Pokok ini sederhana besar dan batang pokoknya juga sederhana keras. Pokok ini menjadi lebih rimbun jika dahannya selalu dipangkas. Bunganya boleh didapati dengan pelbagai saiz dan warna ; bunga kecil berwarna merah, bunga lebar dan lebat warna merah jambu (pink) atau saiz sederhana berwarna putih yang mempunyai stigma berwarna kuning ditengah-tengah jambakan bunga berbentuk seperti bintang. Daunnya yang berwarna hijau tua dan berbentuk bujur lonjong itu mempunyai urat daun yang jelas kelihatan.

Selain namanya yang ‘glamour’, pokok ini juga mempunyai nilai perubatan terutama bahagian batang, daun dan akarnya. Pengamal perubatan tradisional percaya bahawa tanaman ini boleh membantu membersihkan darah, mengurangkan tekanan akibat racun, pitam dan sengal-sengal pinggang. Namun begitu khasiat bunganya masih belum lagi diketahui.
Satu lagi kegunaan batang dan daun pokok ini ialah sebagai ubat luaran. Caranya dengan menumbuk batang dan daun sehingga lumat dan ditampalkan pada bahagian badan yang bengkak untuk mengurangkan sakit dan bengkak menjadi surut. Ia juga sangat berguna untuk wanita bagi melancarkan peredaran darah dan mengurangkan perdarahan akibat luka dalaman.

 

Keembung (Impatiens balsamina) Jun 17, 2012

Pengenalan
Keembung atau nama botaninya Impatiens balsamina adalah sejenis pokok tanaman hiasan yang banyak dijumpai di serata negara, sama ada beriklim tropika atau pun sederhana. Dikenali juga dengan nama bunga Tabo, Inai Air (melayu) dan Garden Balsam (Inggeris), keembung adalah tumbuhan semulajadi di negara India dan Myanmar.
(more…)