Wannura

Koleksi Tumbuhan

Kacip Fatimah @ Kacip Siti Fatimah Ogos 1, 2021

Filed under: Herba — Wannura @ 7:18 pm
Tags: , , , ,

Nama Biasa : Selusuh Fatimah

Nama Saintifik : Labisia pumila Benth

Famili : Myrsinaceae

PENDAHULUAN

Kacip fatimah merupakan salah satu bahan paling popular dan mujarab yang digunakan dalam penyediaan herba tradisional atau ‘jamu’ untuk penjagaan tubuh selepas bersalin. .Kacip Fatimah secara tradisinya digunakan untuk mengekalkan sistem peranakan wanita yang sihat serta untuk membantu mengetatkan bahagian peranakan dan juga untuk meningkatkan fungsi seksual. Kacip Fatimah kaya dengan “phytoestrogen” dan “isoflavones” yang mana bahan tersebut boleh melegakan gejala menopaus. Di Malaysia, Kacip fatimah juga dikenali sebagai “Selusuh Fatimah” (secara literal ialah sebagai ubat bersalin Fatimah) dan “Kacip Fatimah” (gunting sirih Fatimah). Akar Kacip fatimah juga didapati mengandungi “benzoquinone” dan “resorcinol”.

CIRI – CIRI TUMBUHAN

Kacip fatimah merupakan sejenis herba renek dengan rizomnya menjalar. Daunnya yang keluar sedikit lurus dan berwarna hijau tua , manakala di tempat teduh tepi daunnya berwarna hijau muda. Tangkai daun agak pendek dan berbentuk sedikit leper. Batangnya tumbuh tegak, berwarna perang dan mempunyai bekas daun (parut) yang nampak dengan jelas. Parut tersebut mampu mengeluarkan akar dan akar boleh kelihatan menonjol keluar dari parut lama.

TABIAT TUMBUHAN

Sejenis tumbuhan yang hidup subur di tempat teduh. Pancaran cahaya matahari di kawasan terbuka atau separa teduh boleh mendatangkan bahaya semasa penubuhan dan pertumbuhannya. Ia adalah sejenis herba yang agak lambat membesar. Pada kebiasannya, ia boleh dibiakkan secara biji benih di tapak semaian di bawah kelembapan yang tinggi dan mempunyai teduh.

BAHAGIAN YANG DIGUNAKAN

Keseluruhan pokok

AMALAN TRADISI PERAWATAN

Bahan tampalan yang disediakan dengan mencampur daun Kacip fatimah dan minyak kelapa disapukan pada perut bayi untuk melegakan sakit perut. Kacip Fatimah juga telah digunakan secara tradisi oleh kebanyakkan wanita Melayu semasa melahirkan anak dan ia boleh membantu memudahkan proses kelahiran dan juga dijadikan sebagai ubat selepas bersalin. Ia juga membantu saluran kelahiran, dan mampu memulih semula kekuatan tubuh, mengawal kitaran haid dan mengelakkan sakit serta mengurangkan gejala menopaus. Secara tradisinya , tumbuhan ini direbus dan perahan air diambil sebagai minuman. Kegunaan tradisi lainnya adalah untuk merawat disentri, penyakit sendi dan gonnorhoea.

Tumbuhan ini juga boleh membantu menegangkan otot abdomen. Kajian saintifik mendapati bahawa ciri-ciri perubatan dan aktiviti biologinya adalah disebabkan oleh kehadiran “phyto estrogen” (estrogen tumbuhan) secara semula jadi dalam tumbuhan ini.

Rujukan https://www.forestry.gov.my

 

Sepetir tonik bagi wanita selepas bersalin Julai 27, 2012

Pengenalan
Sepetir atau nama saintifiknya Sindora miq. adalah dari keluarga Leguminosae. Semua spesis Sindora dipanggil sepetir sebagai nama umum tetapi setiap spesis ada rangkai nama yang membezakan spesis. Dua spesis Sindora yang digunakan sebagai ubat herba di Malaysia iaitu :

Sindora siamensis Teijsm ex Miq. (Sindora cochinchinensis baillon ) – sepetir mempelas
Sindora velutina J.G. Baker (Sindora parvifolia backer ex K. Heyne ) – sepetir beludu besar atau sepetir beludu kecil ( Semenanjung ) dan ensunut ( Sarawak ) (more…)

 

Seburut ubat tradisional perancang keluarga Julai 24, 2012

Pengenalan
Seburut atau nama saintifiknya Thottea grandiflora rottb. adalah dari keluarga Aristolochiaceae. Nama lainnya ialah Kurubut, Semubut, Seperuit, Gereboh, Telinga Kelawar.

Pokok renek setinggi 3 m tetapi biasanya 1m tinggi sahaja; tumbuh berumpun, ada batang di dalam tanah yang bercabang dan menghasilkan batang yang tumbuh lurus tegak, batang atas tanah jarang-jarang bercabang kecuali kalau patah atau cedera.

Daun berbentuk lonjong atau bujur telur, 15-30sm panjang dan 9-20sm lebar, permukaan kasar, liat, permukaan bawah berbulu.

Bunga dalam jambak sepanjang 5 sm; bunga berjuntai, boleh mencapai 12.5 sm panjang , warna ungu kemerah-merahan, urat berjalin jelas kelihatan, berbulu.

Buah jenis kapsul tirus, 10-15 sm panjang.

Kandungan
Semua bahagian – saponin, triterpin dan steroid.

Saponin ada jenis beracun, meransang hingus, kesan antiradang dan sebagai tonik lelaki atau tonik wanita. Steroid berkesan sebagai ubat perancang keluarga (menjarangkan anak dan juga untuk menambah kesuburan wanita), meningkatkan kemungkinan hamil, mengawal edaran haid, penawar alahan, ubat busung, artritis , sakit jantung dan lain-lain.

Taburan
Seburut mempunyai taburan semulajadi di Mynmar, Semenanjung Malaysia dan Singapura. Di Semenanjung Malaysia, seburut paling banyak terdapat di bahagian selatan.

Penanaman
Seburut boleh ditanam dengan menggunakan biji atau potongan rizom yang diasingkan dan ditanam semula. Keadaan yang kurang sesuai seperti di taman atau kebun kerana terlalu banyak cahaya matahari, udara, tanah terlalu kering atau tanah terlalu banyak air menyebabkan seburut tumbuh sangat perlahan atau terus mati. Ia tidak mengalami musim bunga. Oleh itu ia boleh berbunga sepanjang tahun.

Ekologi
Seburut tumbuh liar di hutan pamah hingga ke hutan bukit pada ketinggian 600 m dari paras laut. Seburut memerlukan naungan dan keadaan yang lembab.

Khasiat ubatan
Batang (dalam tanah), Akar dan Pangkal pokok : Air rebusannya diminum sebagai tonik yang mujarab untuk ibu selepas bersalin; rawatan batuk kering, demam panas, demam malaria dan disentri.

Kegunaan lain
Bunga Seburut yang besar dengan corak warna dan kelopak yang cantik cukup menarik perhatian, tetapi ia berbau busuk sedikit. Namun, pokok ini berpotensi sebagai tanaman eksotika kepada peminat flora.

Rujukan :Tumbuhan liar: Khasiat ubatan & kegunaan lain oleh Hean Chooi Ong.

 

Lengkuas Kecil untuk merawat bengkak badan Julai 1, 2012

Filed under: Herba — Wannura @ 4:53 pm
Tags: , , , ,

Lengkuas Kecil ini dari keluarga Zingiberaceae ini nama saintifiknya ialah Alpinia conchigera Burkill mempunyai batang yang lembut dan berakar serabut.

Ketinggian pokok herba ini adalah 50 sm dan berdiameter di antara 1 – 2- sm. Buahnya berwarna kekuningan dan bunganya berwarna kuning. Daunnya lebar kelihatan seperti Lengkuas. Biasanya ditemui di kawasan hutan pamah dan sering juga menjadi tanaman oleh penduduk kampung.

Kegunaan

Akarnya direbus dan airnya diminum serta dijadikan mandian bagi wanita lepas bersalin.
Serbuk akarnya juga dijadikan ramuan ubat sapu pada perut. Sementara daunnya pula direbus dan airnya dijadikan mandian bagi merawat bengkak badan . Ia juga dibuat ubat pupuk bagi mengubati bisul dan ubat lepas bersalin.

Manakala ubat pupuk yang dibuat daripada rizomnya digunakan sebagai sapuan pada badan untuk sakit dalam tulang. Kemungkinan juga pernah digunakan untuk membasuh rambut sebagai ubat kutu.

 

Ekor kucing untuk si kencing manis Jun 26, 2012

Filed under: Herba — Wannura @ 12:07 am
Tags: , , , , ,

Pokok ini biasanya masyarakat Melayu jadikan minuman bagi pesakit kencing manis. Daunnya akan dikeringkan terlebih dahulu dan rendam 2 – 3 helai daun tersebut ke dalam air panas. Minum setelah suam.

Ada juga yang menggunakan pokok ini untuk dibuat mandian, terutama bagi wanita selepas bersalin. Selain dari itu, jika pesakit yang mengalami sengal-sengal badan juga boleh mandi dengan daunan herba ini.

 

Keembung (Impatiens balsamina) Jun 17, 2012

Pengenalan
Keembung atau nama botaninya Impatiens balsamina adalah sejenis pokok tanaman hiasan yang banyak dijumpai di serata negara, sama ada beriklim tropika atau pun sederhana. Dikenali juga dengan nama bunga Tabo, Inai Air (melayu) dan Garden Balsam (Inggeris), keembung adalah tumbuhan semulajadi di negara India dan Myanmar.
(more…)

 

CAKAR KUCING (Caesalpinia sumatrana) herba ibu selepas bersalin Disember 29, 2010

Filed under: Herba — Wannura @ 1:23 am
Tags: , , ,

PENGENALAN

Tumbuhan ini agak besar pokoknya, memanjat, 6 – 10 m panjang. Berdaun majmuk, panjang 30 sm atau lebih berbentuk bujur lonjong, lembut , 5- 8 sm panjang, 2.5 – 3.5 sm lebar. Warna bunga kuning kemerahan dan lengainya yang kurus kira-kira 15 sm panjang, 4-5.5 sm lebar dan bersayap mengandungi 4 – 5 biji di dalamnya.
Pokok ini boleh ditemui di Sumatera, Borneo , Singapura dan Semenanjung Malaysia.

Biasanya daun digunakan dalam perubatan tradisional bagi ibu selepas bersalin. Sementara rebusan daun bagi merawat masalah sakit usus. Bahan aktif adalah saponin manakala daun dan batangnya mengandungi alkaloid yang lemah.

 

KEI CHI (Lycium barbarum) herba kaum Tionghua selepas bersalin. Disember 20, 2010

Filed under: Herba — Wannura @ 8:34 pm
Tags: , , ,

PENGENALAN
Pokok Lycium barbarum dari spesis Wolfberry ini adalah pokok saka yang bermusim ; tumbuh 1 -3 meter tingginya. Daunnya tersusun berselang seli atau dalam jambakan hingga tiga helai dan bentuk daunnya adalah bujur lonjong dengan hujung daun yang bundar serta tumpul. Ukuran daun 7 sm panjang dan 3.5 sm lebar.
Bunganya pula dihasilkan dalam jambakan ; satu hingga tiga kuntum yang keluar dari pangkal daunnya. Kaliksnya pula membentuk sepal seperti loceng . Kelopak bunga berwarna ungu muda; 9-14 mm lebar dengan 5 atau 6 semuanya. Musim bunga ialah di antara Jun hingga September dan buahnya matang dari Ogos hingga Oktober bergantung keadaan cuaca di tempat tersebut.

Kaun Tionghua biasanya mengamalkan memakan buah ini terutamanya selepas melahirkan anak bagi menjaga kesihatan mereka semasa tempoh berpantang. Namun, tahukah anda buah kei chi ini juga mempunyai banyak khasiat seperti penglihatan yang sentiasa baik jika mengamalkan memakannya.

 

LONGAN (Dimocarpus longan): BUAHAN PENAWAR PENYAKIT Julai 7, 2010

Filed under: Buahan — Wannura @ 6:21 pm
Tags: , , , , , ,

Pengenalan
Longan adalah sejenis pokok berbuah. Nama saintifiknya ialah Dimocarpus longan dari keluarga Sapindaceae. Pokok longan berasal dari Asia Tenggara. Buah longan boleh dimakan atau dijadikan ubatan dalam tradisi orang Cina.

BUAH LONGAN PEMBERI TENAGA
Buah longan digemari kerana rasanya yang manis dan sedap di makan begitu sahaja. Jika tidak disebabkan imigran dari China yang membawanya ke negara ini mungkin kita tidak dapat menikmati keenakan buah ini. Buah longan dikatakan adik kepada buah laici kerana ia lebih kecil saiznya. Dalam masyarakat cina, buah longan jarang di makan begitu sahaja; biasanya mereka menggunakan buah ini dalam perubatan.

Terdapat pelbagai vitamin dan mineral yang terkandung dalam buah longan. Antaranya zat besi , magnesium, fosforus, potassium dan sejumlah besar vitamin A dan C. Buah longan juga di katakan mempunyai sebatian fenolik di dalam buahnya seperti asid gallik, corilagin dan asid ellagik. Ini menunjukkan buah longan mempunyai bahan anti-oksidan pelindung hati.

KHASIAT LONGAN

Bahagian tanaman longan yang paling menonjol manfaatnya adalah bahagian buah. Namun begitu bahagian yang lain seperti akar, biji, daun dan pokoknya juga mempunyai manfaatnya tersendiri .

  • Akar dan daunnya mempunyai quertin dan quercitrin .  Akarnya boleh membersihkan saluran air kencing dan melancarkan peredaran darah . Daunnya pula boleh digunakan untuk ubat anti radang dan meredakan demam.
  • Bijinya walaupun keras tetapi mempunyai khasiat antaranya untuk menghilangkan rasa sakit . Bahagian biji juga mempunyai khasiat lain antaranya bermanfaat sebagai bahan pembuat syampu rambut kerana kandungan saponin yang dapat menghasilkan buih yang banyak.
  • Isi buah longan dikatakan boleh bertindak sebagai stomatik (agen yang merangsang aktiviti rembesan digaster dan digunakan sebagai tonik untuk meningkatkan selera makan ),  febrifuge (rawatan atau ubat yang mengurangkan atau mencegah demam ) dan vermifuj ( sebarang ubat atau agen kimia yang digunakan untuk singkirkan cacing dari usus). Air rebusan buah yang telah dikeringkan boleh digunakan sebagai tonik dari rawatan imsonia . Buah longan juga boleh meningkatkan stamina kerana mempunyai sukrosa, protein, lemak, glukosa, dan asid tartaric. Bagi ibu hamil yang lemah atau selepas bersalin dikatakan baik untuk mendapatkan kembali tenaga yang hilang. Namun perlulah meminta nasihat doktor terlebih dahulu. Manfaat lain apabila memakan buah longan secara teratur dapat mengurangi demam, menambah nafsu makan, mencegah anemia dan rambut beruban.

Selepas ini kita bolehlah menikmati keenakan buah longan ini dengan mendapat khasiatnya sekali. Namun, harus diingat jangan terlalu berlebihan kerana dikhuatiri memberi kemudaratan lain pula.

(Sumber : http://syawanamisni.blogspot.com/)

MAKLUMAT TAMBAHAN

Anda jangan terkeliru di antara Pokok Mata Kucing dan Pokok Longan . Pokok mata kucing merupakan sejenis sub-spesies pokok Longan. Buah mata kucing ini dikenali sedemikian kerana rupa dan saiz buahnya yang seperti mata kucing. Buah mata kucing kecil sedikit dari buah longan.
Tanaman buah Longan ada 4 jenis iaitu Edaw, Chompoo, Biew Khiew dan Klon Diamond/Belian di mana yang di tanam di Malaysia  hanya dua klon yang popular ialah Klon Edaw dan Klon Belian. Tanaman longan di Malaysia merupakan komoditi baru dan Malaysia merupakan negara pengimpot buah longan segar dan longan proses yang terbesar dari Thailand bernilai lebih 7,650 metrik tan dengan nilai lebih RM 12.4 juta pada tahun 2007.  Seluas 60 – 80 hektar tanaman longan di tanam di Malaysia terutama di Johor, Melaka, Selangor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

LONGAN ADA BAHAN PENGAWET

KOTA BHARU – Bagi penggemar buah longan, anda diingatkan supaya berhati-hati ketika memakannya kerana dikatakan mengandungi bahan kimia pengawet ‘Sulfur Dioxida’ yang meninggal kesan negatif terutama kepada pesakit asma. Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Lila P. Mohamed Meeran berkata, mereka yang memakannya boleh mengalami pening dan sakit kepala, berpeluh, hidung berair dan kegatalan kulit.
Katanya, sulfur dioksida yang merupakan sejenis bahan pengawet digunakan secara meluas bagi mengekalkan warna dan tekstur buah termasuk buah longan.
“Peraturan-peraturan makanan 1985 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan hanya membenarkan penggunaan bahan berkenaan sebagai bahan pengawet tetapi tidak melebihi 30 miligram (mg) bagi setiap kilogram buah berkenaan, “Tetapi penggunaan bahan berkenaan melebihi had yang dibenarkan dan sering dikesan dilakukan oleh pihak-pihak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.(Sumber : http://www.ehoza.com/v4/forum/isu-semasa-2008/19411-longan-ada-bahan-pengawet.html)

 

Buah longan hidup subur di Kampung Lasah

SUNGAI SIPUT 3 Jun – Buah longan yang juga dikenali sebagai buah mata kucing didapati   hidup subur di Kampung Lasah, kira-kira 30 kilometer dari sini dengan setiap pokok mampu mengeluarkan buah antara 2,000 hingga 2,500 biji setiap kali berbuah.
Malah, apa yang menarik, buah longan yang ditanam di kawasan itu juga didapati lebih manis,

berisi tebal dan lazat jika dibandingkan dengan buah longan yang terdapat di pasaran.
Seorang petani, Yat Abdul Rahman, 78, yang menanam pokok berkenaan sejak empat tahun lalu berkata, longan adalah sejenis pokok berbuah dengan nama saintifiknya Dimocarpus longan dari keluarga Sapindaceae yang ditanam di sini tidak mudah diserang penyakit di samping tidak memerlukan jagaan rapi.
“Buah longan yang dihasilkan di sini terlalu lebat dan saya merasakan inilah pengeluaran tertinggi yang dapat saya lihat sehingga setiap ranting mengeluarkan buah. “Saya dapat lihat setiap tangkai atau ranting pokok itu mengeluarkan antara 50 hingga 60 biji dengan buahnya sebesar syiling 50 sen sehinggakan saya perlu berhati-hati kerana takut pohonnya patah akibat terlalu berat dengan buah yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menanam buah ini yang berasal dari China dan Thailand di halaman rumahnya. Kata Yat, buah ini begitu mudah hidup di kawasan ini dan sehingga kini tidak timbul masalah seperti serangan penyakit yang boleh merosakkan tanaman.“Pokok ini hanya perlu disiram dengan air dan ditabur sedikit baja untuk melebatkan buahnya,” katanya.
Yat berkata, pokok longan yang rendang di kampung berkenaan boleh berbuah dalam tempoh dua tahun dan kualitinya begitu berbeza dengan yang terdapat di pasaran. Katanya, ia berbuah dalam tempoh dua kali setahun dan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk masak sepenuhnya. “Saya dapati pokok ini boleh berbuah dalam tempoh dua tahun selepas ditanam dan sehingga kini saya sudah dapat merasai buah yang lazat dan manis ini selama tiga musim,” katanya.

Pada masa ini, dianggarkan lebih kurang 20 hektar tanah di Kampung Lasah yang kebanyakannya kawasan sawah terbiar ditanam dengan pokok buah tersebut. Buah yang mempunyai kandungan antioksidan ini juga sesuai bagi wanita hamil dan dikatakan bijinya boleh digunakan untuk mengubati gigitan ular.

Yat berkata, beliau berminat untuk menanam pokok ini setelah Jabatan Pertanian Kuala Kangsar mendapati buah-buahan ini sesuai di tanam di sini. Katanya, ia mungkin disebabkan Kampung Lasah ini mempunyai keadaan suhu yang sederhana di sebabkan di sekelilingnya masih diliputi dengan tumbuh-tumbuhan dan berhampiran dengan kawasan pergunungan. Beliau berkata, oleh kerana kesuburan dan kesesuaian tanah di kawasan ini, ada petani yang menjualnya dengan harga RM6 sekilogram.